SUNGAI BULOH - Lelaki yang lemas dalam kejadian di kolam takungan air Menara Saujana Perdana 1 & 2, di sini pada Selasa lalu disahkan merupakan penuntut tahun akhir Universiti Putra Malaysia (UPM).
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, mangsa yang berusia 23 tahun sebelum ini ditemukan lemas di kolam takungan air berkenaan selepas pihak polis menerima panggilan kecemasan pada jam 11.53 pagi.
"Bedah siasat yang dijalankan di Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA), Puncak Alam mendapati punca kematian mangsa adalah akibat lemas (drowning).
"Kertas siasatan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Dalam pada itu, Mohd Hafiz menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan dan menyerahkan siasatan kepada pihak polis.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Mejar Fuzi Kamazan atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Sementara itu, UPM menerusi satu hantaran merakamkan takziah kepada ahli keluarga mangsa.
"Salam takziah diucapkan kepada ahli keluarga Muhammad Adam Danish Mohd Anuar, Pelajar Tahun Akhir, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia yang telah kembali ke rahmatullah. Al-Fatihah," menurut hantaran itu.
UPM turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki lemas selepas dipercayai tersedut ke dalam tangki air ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di sebuah kolam menara di Bandar Saujana Perdana di sini pada Selasa.
Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas tangki kolam menara sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.