Rumah seakan bergegar, Anjung Bercham diisytihar kawasan bencana

Iklan
Setakat ini kira-kira 250 rumah dikenal pasti mengalami kerosakan, namun jumlah itu dijangka meningkat selepas penilaian penuh dilakukan.

IPOH -"Bunyi angin sangat kuat, pintu dan tingkap semua bergegar."

Demikian pengalaman mencemaskan dikongsi mangsa ribut di Anjung Bercham di sini pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Chua, 37, berkata, kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu berlaku begitu pantas sehingga dia bersama isteri dan seorang anak tidak sempat berbuat apa-apa selain berlindung di dalam rumah.

"Bila saya jenguk ke luar rumah, pokok bunga yang disusun sudah tumbang, baju yang jemur semua berterbangan, kasut pun hilang dibawa angin.

Iklan

"Memang nampak keadaan luar sangat teruk. Ini kali pertama saya tengok angin macam ini, sangat menakutkan," katanya ketika ditemui pemberita.

Tambahnya, kejadian tersebut mengakibatkan sebahagian bumbung rumah yang disewanya sejak beberapa tahun lalu tercabut akibat tiupan angin kuat.

Iklan

“Bahagian tengah rumah dan dapur paling teruk. Atap sudah hilang habis kawasan itu bocor kena air hujan," katanya.

Boon Piow (kiri) ketika meninjau keadaan kediaman penduduk yang terjejas dalam kejarian ribut melanda Anjung Bercham pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bercham, Ong Boon Piow memaklumkan, kawasan terjejas kini telah diisytiharkan sebagai kawasan bencana.

Katanya, pengisytiharan kawasan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kinta itu membolehkan semua jabatan dan agensi membantu menyelaras penyaluran bantuan yang bersesuaian kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

"Kita telah membuka pusat bantuan di Dewan Dato Sham, Kampung Tersusun Tasek bermula jam 10 pagi tadi dengan kehadiran pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Bagi tujuan permohonan bantuan itu, saya nasihatkan mangsa supaya membuat laporan polis serta mengambil gambar kerosakan rumah masing-masing," katanya.

Beliau berkata, setakat ini kira-kira 250 rumah dikenal pasti mengalami kerosakan, namun jumlah itu dijangka meningkat selepas penilaian penuh dilakukan.

"Buat masa ini, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka. Mangsa yang kediamannya terjejas teruk memilih untuk tinggal bersama saudara-mara dan di hotel bajet," katanya.

Sinar Harian melaporkan, lebih 200 kediaman di Anjung Bercham terjejas susulan hujan lebat berterusan disertai angin kencang selama hampir dua jam.

Antara kawasan yang terjejas termasuk Hala Tasek Timur 1; Lorong Bercham 19; Dataran Tasek Timur selain beberapa lokasi lain seperti Lintasan Tasek Timur 1 dan 3, Hala Tasek Timur 34 serta Laluan Tasek Timur 15.

Sebahagian besar rumah mengalami kerosakan di bahagian bumbung yang tercabut, siling bocor serta beberapa struktur lain, namun tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam insiden tersebut.