PENYERANG Manchester United, Matheus Cunha membuktikan ketajamannya apabila meledak dua gol untuk membantu Brazil menewaskan Haiti 3-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan C pada Sabtu.
Pertembungan di Stadium Lincoln Financial Field itu turut menyaksikan Haiti menjadi pasukan pertama tersingkir daripada saingan selepas gagal mengutip sebarang mata daripada dua perlawanan.
Cunha yang diberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama selepas sekadar muncul sebagai pemain gantian ketika seri 1-1 menentang Maghribi sebelum ini, membalas kepercayaan pengendali Carlo Ancelotti dengan aksi cemerlang.
Brazil terlebih dahulu memperoleh gol pembukaan pada minit ke-27 menerusi Cunha yang pantas menyambar bola muntah hasil percubaan Vinicius Junior yang ditepis penjaga gol Haiti, Johny Placide.
Penyerang berusia 27 tahun itu kemudian menggandakan kelebihan Brazil apabila menyempurnakan hantaran Vinicius dengan rembatan kaki kiri yang menerjah penjuru atas gawang lawan.
Vinicius melengkapkan kemenangan selesa Selecao apabila mencetak gol ketiga pada minit ke-32, sekali gus menutup babak pertama dengan kelebihan tiga jaringan.
Brazil sebenarnya berpeluang membuka tirai jaringan lebih awal, namun gol Raphinha dibatalkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan pemain itu berada dalam kedudukan ofsaid.
Haiti yang membuat penampilan pertama di pentas Piala Dunia sejak 1974 cuba memberikan tentangan, namun gagal menandingi kelebihan kualiti yang dimiliki Brazil di hadapan lebih 68,000 penonton.
Kemenangan itu meletakkan Brazil di landasan terbaik untuk mara ke pusingan kalah mati sambil memburu gelaran dunia pertama sejak 2002.
Pasukan bimbingan Ancelotti akan menutup aksi Kumpulan C menentang Scotland pada Khamis, manakala Haiti tidak lagi mempunyai peluang untuk meneruskan cabaran ke peringkat kalah mati.
Sementara itu, bintang berpengalaman Brazil, Neymar, sekali lagi terlepas perlawanan akibat kecederaan betis yang masih belum pulih sepenuhnya.