Spekulasi Onn Hafiz sertai Kabinet: Kerusi MB Johor bertukar lagi?

Iklan
Menurut sumber, Onn Hafiz berpotensi diketengahkan sebagai calon menteri Kabinet selepas PRU16. Gambar kecil: Mazlan

SEJAK pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail, nama Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi terus menjadi perhatian.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor itu bukan sahaja membuat keputusan mengejut pada 1 Jun lalu, malah mengumumkan BN akan bertanding secara solo di kesemua 56 kerusi DUN.

Iklan
Iklan

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, BN memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh 12 kerusi, Ikatan Demokratik Muda (Muda) satu dan Perikatan Nasional (PN) tiga.

Keputusan BN Johor untuk bergerak secara solo kurang disenangi PH yang merupakan rakan dalam Kerajaan Perpaduan. Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke turut membidas strategi politik tersebut.

Iklan

Hubungan BN-PH turut menjadi semakin tegang apabila Onn Hafiz menegaskan DAP tidak pernah dan tidak akan menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri pimpinan BN di Johor.

Onn Hafiz bersalaman dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) ketika Pelancaran Jentera BN sempena PRN Johor Ke-16 baru-baru ini. - Foto Bernama

Iklan

Malah beliau turut menyatakan tidak berminat memegang jawatan Menteri Besar sekiranya perlu bekerjasama dengan DAP.

Kenyataan itu boleh ditafsirkan sebagai keyakinan tinggi bahawa BN mampu mendominasi PRN Johor tanpa bantuan PH.

Namun, dari sudut lain, ia juga dilihat memberi isyarat bahawa Onn Hafiz mungkin sedang dipersiapkan untuk memainkan peranan lebih besar di peringkat Persekutuan.

Kemungkinan itu dilihat lebih relevan sekiranya BN akhirnya perlu meneruskan kerjasama dengan PH selepas PRN Johor atau menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Malah, timbul spekulasi bahawa Onn Hafiz dijangka meninggalkan jawatan Menteri Besar walaupun BN berjaya mempertahankan dominasi di Johor. Strategi pertukaran calon Menteri Besar selepas pilihan raya bukanlah perkara baharu dalam politik negeri itu.

Pada PRN Johor 2022, BN memasuki pilihan raya dengan Datuk Seri Ir Hasni Mohammad sebagai poster boy dan penyandang Menteri Besar.

Namun selepas kemenangan besar BN, Sultan Johor, Sultan Ibrahim berkenan melantik Onn Hafiz sebagai Menteri Besar baharu.

Hubungan baik terjalin antara Onn Hafiz (kiri) dan institusi istana diraja Johor terutama Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail memberi manfaat besar kepada kemajuan kerajaan Johor.

Sumber terdekat UMNO Johor mendakwa, Onn Hafiz berpotensi diketengahkan sebagai calon menteri Kabinet selepas PRU16, termasuk untuk memegang portfolio penting berkaitan ekonomi dan pelaburan.

Menurut sumber itu, pertimbangan berkenaan dibuat berdasarkan kejayaan beliau memacu Johor sebagai negeri penerima pelaburan tertinggi negara.

“Kejayaan ini didorong secara signifikan oleh potensi besar Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). Justeru, terdapat keperluan peranan Onn Hafiz perlu diperluas ke peringkat nasional dalam mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara pada masa hadapan,” kata sumber itu kepada Sinar Harian.

Sekiranya senario itu menjadi kenyataan, sekurang-kurangnya tiga nama dilihat berpotensi menggantikan Onn Hafiz sebagai Menteri Besar sekiranya BN terus mentadbir Johor secara bersendirian.

Antara yang disebut ialah Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah (ADUN Larkin); Exco Pemuda UMNO, Syed Hussien Syed Abdullah (ADUN Mahkota); dan Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Ir Mohamad Fazli Mohamad Salleh (ADUN Bukit Pasir).

Dari kiri: Syed Hussien, Mohamad Fazli dan Mohd Hairi antara tiga nama dilihat berpotensi menggantikan Onn Hafiz sebagai Menteri Besar.

“Mohd Hairi antara nama yang disebut-sebut kerana beliau merupakan pemimpin muda BN Johor paling berpengalaman dan kini menyandang jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Pusat.

“Nama Syed Hussien turut mencuri tumpuan kerana latar belakang pendidikan dan kerjaya beliau yang profesional, mempunyai kemahiran bertutur bahasa Cina serta bersifat low profile.

“Begitu juga dengan Mohamad Fazli yang dianggap sebagai ‘protege’ Onn Hafiz selain menjadi individu penting dalam memastikan kemudahan infrastruktur untuk pelabur asing disediakan sebaik mungkin,” kata sumber UMNO Johor itu lagi.

Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Segamat, Bastien Onn mengakui, beliau tidak akan terkejut sekiranya Onn Hafiz dipilih menggalas jawatan menteri Kabinet selepas PRU16.

Walaupun menganggap spekulasi berkenaan bersifat khabar angin, beliau berpandangan kualiti kepimpinan Onn Hafiz sememangnya diperlukan di peringkat nasional.

“Jika benar beliau dibawa ke peringkat Persekutuan, saya tidak terkejut. Dalam sejarah politik Johor, ramai pemimpin bertanding di dua kerusi, sama ada DUN dan Parlimen.

“Melihat kepada kebolehan, potensi serta keupayaan beliau mentadbir Johor dan membawa masuk pelaburan, saya tidak akan terkejut sekiranya beliau diangkat ke peringkat nasional.

“Beliau baru satu penggal menjadi Menteri Besar, tetapi cara beliau mentadbir negeri ini dan kejayaan menarik pelaburan memberikan gambaran yang positif.

Ahmad Zahid (tengah) dan Onn Hafiz Ghazi (empat dari kanan) bersama barisan kepimpinan tertinggi BN yang lain menyempurnakan gimik Pelancaran Jentera BN sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 baru-baru ini. - Foto Bernama

“Sekiranya beliau diangkat menjadi menteri Persekutuan atau ahli Parlimen, saya tidak melihat ia sebagai sesuatu yang salah. Johor juga tidak ketandusan pemimpin yang berkebolehan untuk mentadbir negeri,” ujarnya.

Pandangan sama turut dikongsikan penganalisis politik dari Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr Mazlan Ali.

Menurut beliau, keputusan membawa Onn Hafiz ke peringkat nasional bukan sesuatu yang terlalu awal atau mampu menjejaskan pentadbiran Johor secara signifikan.

“Masyarakat Johor mengenali beliau dengan baik. Jika beliau dibawa ke Persekutuan, saya tidak melihat perkara itu mustahil berlaku.

“Namun, proses itu bukan sesuatu yang boleh dilakukan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi seorang diri. Kita tahu pengaruh institusi diraja di Johor sangat kuat. Jika perkara itu berlaku, ia memerlukan peranan dan persetujuan pihak istana,” katanya.

Mazlan turut berpandangan bahawa dalam landskap politik semasa yang tidak didominasi satu parti secara mutlak di peringkat Persekutuan, peranan institusi diraja menjadi semakin signifikan dalam menjamin kestabilan politik dan ekonomi negara.

“Jika Onn Hafiz dibawa ke peringkat Persekutuan, saya melihat pertimbangannya berkait rapat dengan kestabilan politik negara.

“Kerajaan Perpaduan hari ini berjaya mengekalkan kestabilan ekonomi pada tahap tertentu. Kita tahu institusi diraja juga mempunyai kepentingan terhadap kestabilan ekonomi kerana ia memberi kesan kepada pembangunan dan pelaburan,” kata beliau.