Marzuki sangkal dakwaan Muhyiddin enggan beri laluan calon PM

Iklan
Marzuki

SHAH ALAM - Bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad tampil memperbetulkan dakwaan bahawa kegagalan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berpunca daripada hasad dengki seorang individu yang didakwa enggan memberi laluan kepada calon lain sebagai Perdana Menteri.

Menurut beliau, dakwaan yang dipetik Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bahawa pihak Istana Negara telah meminta satu nama lain dari PN selain Muhyiddin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Iklan
Iklan

"Saya tidak tahu sama ada dakwaan yang membabitkan Istana Negara ini benar atau tidak. Saya yang berurusan secara langsung dengan pihak Istana Negara dalam urusan calon Perdana Menteri dari PN tidak pernah dimaklumkan mengenainya.

"Dalam kenyataannya, beliau menyebut perkara ini didedahkan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang. Saya tahu individu yang dimaksudkan ialah Tan Sri Muhyiddin.

Iklan

"Menurut kenyataannya, Haji Hadi menuduh individu tersebut (Muhyiddin) berhasad dengki. Ini tuduhan yang amat berat. Saya ingin memperbetulkan faktanya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ujar Marzuki, beliau terlibat secara langsung dalam proses pelantikan Perdana Menteri selepas PRU15 yang melibatkan Muhyiddin.

Iklan

Katanya, Muhyiddin mendapat sokongan 114 Ahli Dewan Rakyat termasuk semua Ahli Dewan Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan 10 Ahli Dewan Rakyat Barisan Nasional untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

"Jumlah ini melepasi majoriti mudah 112 Ahli Dewan Rakyat. Saya masih menyimpan salinan Akuan Bersumpah 114 Ahli Dewan Rakyat ini.

"Namun, Istana Negara pada 22 November 2022 mengeluarkan kenyataan bahawa tidak ada seorang pun calon yang mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Saya difahamkan ini adalah kerana sokongan 10 Ahli Dewan Rakyat BN kepada Tan Sri Muhyiddin dipertikaikan.

"Pada pagi 24 November 2022, Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu bersidang di Istana Negara untuk membincangkan perkara mengenai pelantikan Perdana Menteri," katanya.

Menurutnya, beliau difahamkan hanya dua calon yang dipertimbangkan iaitu Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tan Sri Muhyiddin memberitahu mereka, 114 Akuan Bersumpah Ahli-Ahli Dewan Rakyat adalah untuk memberikan sokongan kepada beliau sebagai Perdana Menteri, bukan kepada Hamzah.

"Jika Hamzah ingin menamakan dirinya sebagai Perdana Menteri, beliau perlu berjumpa dan mendapatkan persetujuan semua Ahli Dewan Rakyat ini untuk membuat Akuan Bersumpah baharu yang memberikan sokongan kepadanya sebagai Perdana Menteri,"katanya.

Katanya, Muhyiddin tidak boleh memindahkan sokongan Ahli Dewan Rakyat kepadanya kepada Hamzah kerana kehendak Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan seorang Ahli Dewan Rakyat yang hendak dilantik sebagai Perdana Menteri mesti mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang lain.

Menurutnya, jika Muhyiddin bersetuju sekalipun tetapi Ahli Dewan Rakyat yang lain termasuk dari GPS, GRS dan BN tidak bersetuju, maka kehendak Perlembagaan Persekutuan tidak dapat dipenuhi.

"Ini bukan soal memberi laluan, ini adalah soal perlembagaan. Lagipun cadangan untuk mengemukakan nama Hamzah datang di saat akhir.

"Belum selesai mereka berbincang, berita diterima dari Istana Negara bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

"Jika benarlah Haji Hadi menuduh Tan Sri Muhyiddin berhasad dengki seperti yang didakwa oleh Wan Fahysal, ini adalah satu tuduhan yang amat tidak adil kepada Tan Sri Muhyiddin. ALLAH lebih mengetahui," katanya.