PADANG RENGAS - Angkatan Muda Keadilan (AMK) membayangkan dua pemimpin muda utama mereka di Johor dan Negeri Sembilan berkemungkinan diketengahkan sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di kedua-dua negeri berkenaan.
Ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, pihaknya telah mengemukakan cadangan calon kepada kepimpinan parti dan yakin pimpinan utama sayap berkenaan akan diberi peluang bertanding di kedua-dua negeri.
Menurutnya, pengumuman rasmi calon akan dibuat oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis yang dijadual berlangsung di Bukit Gambir, Tangkak pada 22 Jun ini.
“Jangan risau, Ketua AMK Johor dan juga Negeri Sembilan insya-ALLAH ada tempatlah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam satu program di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa senarai calon bagi kedua-dua PRN berkenaan sudah dimuktamadkan dan hanya menunggu pengumuman rasmi.
Mengulas mengenai peratusan calon muda yang bakal diketengahkan, Muhammad Kamil secara peribadi mahu majoriti calon terdiri daripada golongan muda, namun keputusan akhir tertakluk kepada pertimbangan kepimpinan parti.
Katanya, AMK telah mencadangkan beberapa nama dalam kalangan tokoh dan pimpinan muda di Johor serta Negeri Sembilan, namun faktor pengaruh, keupayaan dan pelbagai pertimbangan lain turut diambil kira sebelum keputusan dimuktamadkan.
“Apa sahaja keputusan yang dibuat kelak, kita harus turuti dan bekerja untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Muhammad Kamil berkata, fokus kempen yang akan dibawa bukan sekadar oleh AMK, sebaliknya menekankan keutamaan rakyat dalam menilai kepimpinan sesebuah kerajaan negeri.
Menurutnya, pengundi perlu menilai prestasi dan rekod pentadbiran pemimpin berdasarkan pencapaian serta usaha menjaga kebajikan rakyat, bukannya semata-mata kebijaksanaan mencatur strategi politik.
Media pada Khamis melaporkan PH dijangka mengumumkan senarai calon PRN Johor pada Isnin ini.
Perkara itu diumumkan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Beliau yang juga Naib Presiden PKR berkata, pengumuman itu dijangka dibuat pada majlis yang melibatkan pimpinan tertinggi parti termasuk Anwar.