'Selangor pilih kerja, bukan main sentimen politik' - AMK

Iklan
Danish berkata, pakej diumumkan itu bukan sekadar bantuan jangka pendek, sebaliknya pelan menyeluruh bagi memperkukuh daya tahan rakyat, usahawan, penjawat awam serta sektor ekonomi negeri.

SHAH ALAM - Tindakan kerajaan Selangor mengumumkan 15 inisiatif baharu bernilai RM209.26 juta bagi membantu rakyat menghadapi cabaran ekonomi semasa membuktikan pentadbiran negeri lebih mengutamakan penyelesaian berbanding permainan sentimen politik.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin berkata, ketika ada pihak masih memilih untuk memainkan sentimen politik dan meraih keuntungan daripada keresahan rakyat, kerajaan negeri mengambil pendekatan berbeza dengan tampil membantu golongan terkesan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, meskipun ada pihak hanya bercakap mengenai masalah dan menimbulkan pelbagai naratif negatif, Selangor membuktikan kerajaan yang cekap mampu bertindak pantas serta mengemukakan penyelesaian memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Beliau berkata, pakej diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari itu bukan sekadar bantuan jangka pendek, sebaliknya pelan menyeluruh bagi memperkukuh daya tahan rakyat, usahawan, penjawat awam serta sektor ekonomi negeri.

Iklan

Katanya, antara langkah yang diumumkan termasuk moratorium tiga bulan kepada penyewa Program Smart Sewa Selangor, moratorium bayaran balik pinjaman perumahan penjawat awam negeri, pengembangan Program Selangor Advance (SA500), Dana Pantas Usahawan dan pengurangan kadar sewa premis pihak berkuasa tempatan (PBT).

Danish berkata, pendekatan itu membuktikan hasil ekonomi negeri kukuh diterjemahkan kepada bantuan dan perlindungan sosial yang dapat dirasai rakyat secara langsung.

Iklan

"Sebagai negeri penyumbang terbesar kepada ekonomi negara, Selangor sekali lagi menunjukkan kekuatan ekonomi negeri mesti dikembalikan semula kepada rakyat dalam bentuk bantuan, perlindungan sosial dan peluang ekonomi.

"Ini adalah contoh pentadbiran yang responsif, progresif dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan," tambah beliau.

Terdahulu, kerajaan Selangor mengumumkan 15 inisiatif baharu bernilai RM209.26 juta di bawah Fasa 2 Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bagi membantu rakyat, peniaga dan industri menghadapi kesan krisis bekalan global.

Amirudin berkata, langkah itu dirangka selepas kerajaan negeri meneliti kesan krisis terhadap ekonomi negeri termasuk peningkatan kos operasi perniagaan serta kehilangan pekerjaan dalam beberapa sektor utama.