Hijrah ke arah transformasi insani berkualiti

Iklan
Golongan muda harus memperkemaskan diri dengan kefahaman pelbagai ilmu pengetahuan, mempraktikkan ilmu menerusi latihan yang berimpak tinggi dan akhirnya membentuk sikap dan budaya murni dalam kehidupan seharian. Gambar kecil: Dr Hasan Al-Banna Mohamed

MENJELANG saban tahun Hijriah yang baharu, setiap Muslim akan menyambutnya dan menetapkan citi-cita dan wawasan baharu untuk dicapai pada tahun-tahun mendatang. Hal ini menjadi satu tradisi atau budaya yang sering ditekankan oleh pihak majikan kepada semua warga organisasinya masing-masing.

Transformasi atau reformasi insani ini sangat penting kerana ia adalah satu proses holistik untuk memperkasakan seseorang individu dari aspek ‘ASK’ iaitu Attitude (sikap), Skill (kemahiran) dan Knowledge (pengetahuan) sebagai pemangkin utama ke arah pembangunan organisasi dan kemajuan negara bangsa.

Iklan
Iklan

Penghijrahan atau perubahan pengetahuan merupakan tahap yang paling mudah dilaksanakan dalam diri seseorang, manakala tahap pertengahan adalah perubahan dari aspek kemahiran yang boleh dicapai menerusi perancangan latihan dan pembangunan (training and development) yang seimbang dan tersusun.

Tahap terakhir yang paling sukar dilaksananakan dan dicapai adalah aspek perubahan sikap dalam diri setiap manusia untuk menjadi insan kamal yang paling sempurna.

Iklan

Hal ini sebenarnya telah dipelopori sejak zaman berzaman oleh junjungan para anbiya’ dan rasul pesuruh ALLAH SWT yang bertujuan menyempurnakan nilai keinsanan insan.

Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya tidak daku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak” (Riwayat Imam Ahmad) yang bermaksud perutusan junjungan para rasul tersebut adalah untuk memastikan manusia sentiasa berubah ke arah kebaikan sehingga layak memasuki syurga yang telah ditetapkan Ilahi pada hari akhirat kelak.

Iklan

Sesungguhnya, hijrah atau perubahan dari satu tempat atau keadaan kepada satu fenomena yang lebih baik merupakan definisi asal yang diketahui sejak dari dahulu lagi. Namun, transformasi terhadap sikap (attitude) yang negatif kepada budaya positif turut ditakrifkan dalam suasana masa kini.

Malahan, konsep perpindahan atau perubahan sudah menjadi satu keperluan harian yang mesti seseorang manusia menghadapinya demi kelestarian kehidupannya yang lebih baik. Sebenarnya, kita telahpun berpindah sejak awal lagi dari alam roh ke alam rahim selama sembilan bulan, kemudiannya dipaksa keluar menerusi era kelahiran yang kita sambut pada setiap tahun untuk menghadapi pelbagai cabaran di dunia ini.

Seterusnya, kita sedang atau telah berpindah ke alam barzakh (alam kubur) sebagai satu persinggahan sementara bagi menuju ke alam akhirat yang kekal abadi.

Apa yang penting adalah setiap langkah perubahan dan perpindahan tersebut pasti memperoleh kerahmatan dan keberkatan daripada ALLAH SWT. Hal ini termaktub dalam Surah Al-Baqarah, ayat 218 yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan ALLAH (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat ALLAH. Dan (ingatlah), ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Sebagai contoh perubahan yang perit dilakukan oleh sejenis binatang makhluk ALLAH SWT yang dapat dicontohi oleh kita semua dalam perjalanan kehidupan seharian. Hal ini seperti yang dilafazkan dalam beberapa ayat suci al-Quran yang ditegaskan sebagai contoh teladan bagi golongan yang berfikir.

Antaranya dalam Surah Al-Nahl (Ayat 66) yang bermaksud: “Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar” dan juga dalam Surah Al-Jaathiyah (Ayat 4) yang bermaksud: “Dan pada kejadian diri kamu sendiri, serta (pada kejadian) segala binatang yang dibiakkanNya, terdapat juga tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan ALLAH) bagi orang-orang yang meyakininya.”

Sehubungan itu, untuk paparan dalam artikel ini marilah kita susuri satu perjalanan hijrah dan pengorbanan besar seekor burung helang yang harus dihayati dan diteladani oleh kita semua. Sebenarnya seekor burung helang jangka hayatnya adalah lebih kurang antara 60 hingga 70 tahun usianya, namun pada umur 40 tahun helang terpaksa membuat satu tindakan besar dalam hidupnya iaitu berhijrah dan berubah.

Helang yang berumur 40 tahun tersebut sebenarnya telah mempunyai bulunya yang tebal, paruhnya yang besar dan kuku kakinya yang amat panjang. Perkara ini semua telah menyukarkannya untuk terbang dengan laju bagi mencari makanan dan mangsanya.

Oleh itu, helang bertekad untuk naik ke puncak gunung yang tinggi dengan membuat satu perkara yang di luar kebiasaannya iaitu mencabut semua bulunya yang tebal, keduanya mencabut semua kukunya yang panjang itu dan akhirnya mematahkan sendiri paruhnya yang besar tersebut.

Kesemua perkara yang menyakitkan dirinya sendiri itu telah menyebabkan helang tidak mampu untuk makan dalam tempoh lebih kurang 120 hari. Namun, selepas dari penghijrahan itu helang semakin pulih dengan mempunyai bulunya yang baharu, kuku kakinya yang sangat tajam serta paruhnya yang baru sudah mulai tumbuh. Akhirnya, pengorbanan dan keperitan helang tersebut telah membolehkannya untuk dia hidup menjangkau 20 tahun lagi.

Itulah merupakan harga dan nilai bagi satu pengorbanan dan penghijrahan besar yang diperoleh helang pada akhirnya. Justeru, bagi kita sebagai insan yang diamanahkan ALLAH SWT sebagai pemimpin dan khalifah di dunia ini harus menetapkan cita-cita murni yang berobjektif nyata bersempena tahun hijri yang baharu ini, semoga kehidupan duniawi ini sebagai satu jambatan terbaik untuk kita menuju ke arah Syurgawi yang kekal abadi.

Sehubungan dengan itu juga, sebuah Universiti Awam ke-20 dalam negara iaitu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menerusi logo awal penubuhannya sejak 20 tahun yang lalu turut mempunyai ikon burung helang yang diadaptasi daripada logo Kementerian Pertahanan Malaysia serta falsafah baharu dalam agenda Pelan Strategik UPNM30 juga mengemukakan falsafah HELANG iaitu H (Holistik), E (Etika), L (Legasi), A (Adaptasi), N (Naratif) dan G (Gagasan). Semoga penghayatan falsafah HELANG itu dapat direalisasikan oleh semua warganya menjelang tahun 2030 nanti.

Oleh yang demikian, setiap individu ataupun para remaja masa kini khususnya haruslah mengambil iktibar dari penghijrahan helang tersebut agar golongan muda mampu menjadi modal insan berkualiti bagi negara ini pada masa hadapan.

Mereka harus bersemangat waja, mempunyai nilai patriotisme yang tinggi dan keutuhan jati diri, tidak mudah putus asa, elak terpengaruh budaya kuning yang negatif, jangan mudah koyak atau melatah tidak tentu pasal. Hal ini demikian kerana era masa kini adalah agak berbeza disebabkan berhadapan dengan pelbagai krisis ekonomi, isu peperangan, krisis tenaga global, suasana iklim tidak menentu, kepesatan fenomena AI dan digital moden, risiko yang pelbagai, mehnah serta tribulasi yang macam-macam bentuk dan rupanya.

Maka, golongan muda harus memperkemaskan diri dengan kefahaman pelbagai ilmu pengetahuan, mempraktikkan ilmu menerusi latihan yang berimpak tinggi dan akhirnya membentuk sikap dan budaya murni dalam kehidupan seharian.

Jadikanlah pengorbanan helang itu dan juga peristiwa besar Hijrah Rasulullah SAW ini sebagai satu model pengurusan dan titik perubahan terpenting untuk mereka tetapkan sebagai sumber inspirasi ke arah pembentukan satu tamadun negara yang berdaulat.

Tegaknya sesebuah negara bergantung kepada kecemerlangan anak watan bangsanya. Jika golongan remaja negara terpalit dengan kebejatan sosial, emosi yang tidak stabil, kelemahan iman dan jati dirinya yang pudar; sudah pasti tamadun negara tersebut akan musnah dan tidak mampu mempertahankan kelestariannya.

Tambahan pula, perancangan Rasulullah SAW semasa melaksanakan hijrah tersebut adalah dengan penuh tertib, terancang, bertenang, tidak mudah panik dan berserah hanya kepada ALLAH SWT. Perkara ini telah menjadikan objektif berhijrah itu mampu dicapai dan berjaya dengan sempurna.

Oleh itu. sebagai pengajarannya ketika kita berdepan dengan apa jua krisis atau masalah masa kini, hadapilah dengan penuh perancangan strategik, uruskan tekanan dan emosi dengan jiwa yang tenang menerusi zikir, tingkatkan ibadat dan panjatkan doa kepada Ilahi, serta perbaiki gaya hidup agar berteraskan amalan Islami dan yang penting perlu jauhi segala larangan Allah SWT.

Jadikan konsep hijrah sebagai satu lagi peluang keemas an untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih gemilang. Secara tuntasnya, apabila manusia semua akur dan patuh dengan aturan Ilahi sebagai Maha Pencipta, maka kita sebagai makhluk-Nya akan memperoleh keberkatan dan kesempurnaan hidup di dunia dan juga hari akhirat nanti.

* Profesor Dr Hasan Al-Banna Mohamed ialah Penolong Naib Cansleor (Pengurusan Data dan Kualiti) merangkap Ketua Pegawai Digital (CDO), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)