WASHINGTON - Rundingan lanjut antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang dijadualkan berlangsung di sebuah pusat peranginan puncak gunung Burgenstock di Switzerland pada Jumaat telah ditangguhkan.
Pengumuman itu dibuat selepas jurucakap Rumah Putih menyatakan Naib Presiden AS, JD Vance telah membatalkan kunjungannya ke Bern untuk bertemu wakil perunding Teheran.
"Kami berharap rundingan teknikal dapat dimulakan secepat mungkin," ujarnya lagi.
Sebelum ini, Vance dilaporkan akan menghadiri pertemuan bagi memulakan pelaksanaan perjanjian antara Washington dan Tehran yang bertujuan menamatkan konflik serta membuka semula Selat Hormuz dan memulakan tempoh rundingan selama 60 hari mengenai isu lebih luas termasuk program nuklear Iran selepas kedua-dua negara memeterai memorandum persefahaman (MoU).
Perjanjian tersebut juga bertujuan untuk menghentikan konflik di Lubnan, namun Israel terus membedil kedudukan pejuang Hizbullah di beberapa lokasi di selatan negara itu.
Pada Khamis, Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei mengesahkan beliau meluluskan perjanjian itu walaupun terdapat beberapa keraguan sambil menegaskan Teheran akan bertindak tegas jika perjanjian tersebut dilanggar.
"Rundingan bersemuka bersama AS akan diadakan pada masa akan datang, namun ia tidak bermaksud Iran menerima pendirian pihak lawan," tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, aliran trafik di Selat Hormuz dilaporkan kembali lancar selepas Washington menarik balik sekatan maritim dan Teheran mengumumkan pengecualian bayaran tol selama 60 hari. - Agensi