PN tak pernah desak Bersatu keluar gabungan - Annuar

Iklan
Annuar

KOTA BHARU – Perikatan Nasional (PN) tidak pernah menghalang atau mendesak Parti Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada gabungan itu, sebaliknya kedudukan parti tersebut terserah kepada kepimpinan dan ahlinya sendiri.

Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa berkata, dakwaan kononnya terdapat usaha untuk menyingkirkan Bersatu daripada PN adalah tidak berasas.

Iklan
Iklan

Sebaliknya, menurut beliau, fokus utama Pas dan PN adalah mencari jalan terbaik untuk menguruskan perbezaan pandangan yang timbul dalam gabungan itu agar dapat berfungsi dengan lebih berkesan sebagai blok pembangkang.

“Pas tidak pernah bercakap soal hendak mengeluarkan Bersatu daripada PN, itu tidak pernah timbul. Yang kami fikirkan ialah bagaimana hendak menguruskan PN supaya lebih kuat dan mampu menjadi alternatif kepada rakyat,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Logo Baharu dan Barisan Kejurulatihan Kelantan City FC di sini pada Jumaat.

Annuar berkata, beliau sendiri diberi tanggungjawab oleh Pas untuk mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pihak-pihak yang berbeza pandangan dalam Bersatu bagi mencari titik persefahaman.

Iklan

Menurutnya, beberapa siri pertemuan diadakan termasuk di Kuala Lumpur dan London, namun usaha perdamaian itu gagal mencapai kata sepakat.

“Saya sendiri beberapa kali cuba mendamaikan kedua-dua pihak kerana kami mahu PN kekal kuat.

“Tetapi apabila ada pihak yang meletakkan syarat tertentu dan tidak mahu menerima pihak lain, usaha itu akhirnya tidak berjaya,” katanya.

Beliau berkata, Pas sebelum ini turut mencadangkan beberapa penambahbaikan dalam PN termasuk membuka ruang kepada lebih banyak parti Melayu menyertai gabungan tersebut serta menyelesaikan perbezaan dalaman yang berlaku.

Bagaimanapun katanya, cadangan itu tidak dapat direalisasikan sepenuhnya kerana wujud perbezaan pendekatan antara pihak-pihak terlibat.

“Apabila usaha untuk menyelesaikan perbezaan tidak berjaya, maka berpisah dalam beberapa perkara menjadi jalan yang lebih baik supaya semua pihak boleh terus bergerak ke hadapan,” katanya.

Sebelum ini, Pas mengejutkan landskap politik tanah air apabila membuat ketetapan untuk menghentikan serta-merta kerjasama politik dengan rakan sekutunya, Bersatu.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ketetapan memutus hubungan itu dibuat selepas parti meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama politik Pas-Bersatu berdasarkan laporan, kajian serta penilaian semasa secara menyeluruh.