KOTA BHARU – Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan Mesyuarat Majlis Tertinggi di Kuala Lumpur pada 22 Jun ini bagi membincangkan beberapa isu termasuk penggunaan logo gabungan itu serta persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebarang keputusan yang melibatkan PN perlu diputuskan menerusi mesyuarat rasmi gabungan dan bukannya secara unilateral oleh mana-mana parti komponen.
Menurutnya, isu penggunaan logo PN dalam pilihan raya termasuk di Johor masih belum dimuktamadkan dan akan dibincangkan secara menyeluruh dalam mesyuarat berkenaan.
“Notis mesyuarat sudah dikeluarkan hari ini dan antara perkara yang akan dibincangkan ialah isu-isu berkaitan PN termasuk penggunaan logo serta persiapan pilihan raya.
“Kalau melibatkan urusan PN, ia mesti diputuskan dalam mesyuarat PN kerana gabungan ini mempunyai beberapa parti komponen yang perlu mencapai persetujuan bersama,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pada Pelancaran Logo Baharu dan Barisan Kejurulatihan Kelantan City FC di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan mengenai hasrat Parti Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menggunakan logo PN pada PRN Johor.
Annuar berkata, setakat ini belum ada sebarang keputusan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.
Menurutnya, penggunaan logo PN tertakluk kepada peraturan gabungan dan memerlukan kelulusan serta pengesahan daripada kepimpinan tertinggi PN.
“Kami juga perlu melihat beberapa aspek termasuk perkara berkaitan undang-undang sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata soal pembahagian kerusi bagi PRN Johor juga masih belum diputuskan.
Katanya, semua perkara berkaitan strategi pilihan raya akan dibincangkan dalam semangat musyawarah demi memastikan kesepakatan dalam gabungan itu terus terpelihara.