​'Cukup kenyataan Ahmad Samsuri' - Abdul Hadi enggan ulas isu rombakan pentadbiran PN

Iklan
Tan Sri Abdul Hadi Awang

​MARANG – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang enggan mengulas lanjut mengenai perkembangan terbaharu berhubung penstrukturan semula pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang menyaksikan pengguguran beberapa pemimpin utama.

​Beliau sebaliknya memberikan respons ringkas dan menyatakan bahawa kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sudah memadai buat masa ini.

Iklan
Iklan

​"Cukup dengan kenyataan Ahmad Samsuri. Minggu depan pula bagi kenyataan," katanya ketika ditemui selepas kuliah duha di Masjid Rusila di sini pada Jumaat.

​Sebelum ini, Ahmad Samsuri dalam kenyataan pada Rabu mengumumkan penstrukturan semula pentadbiran PN berkuat kuasa serta-merta bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Iklan

​Rombakan tersebut melibatkan penamatan perkhidmatan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, yang kini digantikan oleh Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor.

​Selain itu, jawatan Bendahari PN yang sebelum ini dipegang oleh Muhammad Sanusi kini diambil alih oleh Timbalan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), S Subramaniam.

Iklan

Turut diberhentikan perkhidmatan ialah Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bagi memenuhi kehendak Perlembagaan parti.

​Ahmad Samsuri menjelaskan langkah itu dibuat berdasarkan kuasa di bawah Fasal 8.3 (V), (VI), dan (VII) Perlembagaan PN, dan satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperkukuh organisasi.