Jangan terlalu fokus siapa jadi MB, lihat prestasi parti dahulu - Wan Fauzuldin

Iklan
Wan Fauzuldin berkata, kenyataan Onn Hafiz yang mencabar PH untuk menamakan calon MB Johor perlu dilihat dalam konteks penilaian terhadap rekod parti.

KUANTAN – Pengundi di Johor dan Negeri Sembilan diminta supaya tidak terpengaruh dengan polemik penamaan calon Menteri Besar (MB), sebaliknya menilai rekod pentadbiran serta prestasi parti yang bertanding pada pilihan raya negeri akan datang.

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Paya Besar, Wan Fauzuldin Wan Samad berkata, kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mencabar Pakatan Harapan (PH) untuk menamakan calon MB Johor perlu dilihat dalam konteks penilaian terhadap rekod parti.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perbahasan mengenai calon MB tidak seharusnya mengalih fokus daripada rekod pentadbiran parti yang pernah diberi mandat.

"Kalau ditanya kepada saya, bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pun layak jadi MB Johor. Beliau ada pengalaman jadi menteri sebelum ini dan berkhidmat dengan cemerlang. Partinya, iaitu Keadilan (PKR) ada track rekod yang cemerlang sebagai kerajaan sama ada di peringkat negeri mahu pun pusat.

Iklan

"Namun, isu yang lebih penting ialah rakyat perlu melihat rekod parti yang menawarkan calon tersebut, bukannya hanya menilai individu semata-mata," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Onn Hafiz yang mempersoalkan kesediaan PH untuk menamakan calon MB sekiranya gabungan itu menang pada pilihan raya akan datang.

Iklan

Mengulas lanjut, Wan Fauzuldin juga mahu pengundi menilai rekod parti-parti yang bertanding, termasuk di Negeri Sembilan.

Katanya, setiap parti mempunyai rekod yang boleh dijadikan pertimbangan oleh pengundi sebelum membuat pilihan.

Beliau menambah, Pakatan Harapan (PH) akan menjadikan rekod pentadbiran di peringkat Persekutuan serta kerajaan negeri seperti Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan sebagai rujukan kepada pengundi.

"Biarlah kalau Onn Hafiz mahu guna Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor sebagai contoh era UMNO atau Barisan Nasional (BN).

"Kita akan guna Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai model pemerintahan di pusat atau kerajaan Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan sebagai model pemerintahan PH," katanya.