KANADA mencipta sejarah tersendiri apabila mencatat kemenangan pertama mereka di pentas Piala Dunia dengan membelasah Qatar 6-0 dalam aksi Kumpulan B, namun kejayaan besar itu dicemari insiden ngeri melibatkan pemain tengah, Ismael Kone.
Kemenangan bergaya di laman sendiri itu menjadi antara aksi paling dominan Kanada di Piala Dunia, namun tumpuan perlawanan berubah apabila Kone mengalami kecederaan serius pada minit ke-52 selepas diterjah keras pemain Qatar, Assim Madibo.
Insiden tersebut mencetuskan suasana tegang di atas padang apabila Madibo pada awalnya hanya dilayangkan kad kuning, sebelum semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengubah keputusan kepada kad merah.
Pemain Kanada jelas terganggu dengan insiden menimpa rakan sepasukan mereka apabila beberapa pemain dilihat membentuk bulatan mengelilingi Kone ketika rawatan diberikan, bagi menghalang kamera merakam keadaan kecederaan yang disifatkan sebagai serius.
Kone kemudian dibawa keluar menggunakan pengusung sambil menerima tepukan daripada penyokong di stadium.
Walaupun dalam kesakitan, pemain berusia 24 tahun itu sempat memberikan isyarat ibu jari dan tabik hormat kepada penyokong sebelum meninggalkan padang.
Kakinya dilaporkan dipasang alat sokongan udara (air cast) serta menerima bantuan oksigen sebelum dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Sebelum itu, Qatar sudah menerima tamparan awal apabila Homam Ahmed dilayangkan kad merah pada minit ke-33, menjadikan mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain lebih awal.
Kehilangan Kone dijangka memberi kesan besar kepada kemaraan Kanada, namun kemenangan 6-0 itu tetap mengukuhkan status mereka sebagai salah satu pasukan yang mula mencuri perhatian di Piala Dunia.