PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian memeterai memorandum persefahaman (MoU) 14 perkara yang bukan sahaja menamatkan perang lebih 100 hari antara kedua-dua negara, malah berpotensi membuka laluan kepada pemulihan ekonomi terbesar Iran sejak Revolusi Islam 1979.
Apa yang menarik perhatian bukan lagi persoalan siapa menang atau kalah di medan perang, sebaliknya bagaimana Iran dilihat berpotensi muncul sebagai pihak yang memperoleh manfaat paling besar daripada penyelesaian konflik tersebut.
Tumpuan kini terarah kepada draf MoU 14 perkara yang didedahkan agensi berita rasmi Iran, IRNA dan kemudiannya turut dibacakan kepada media oleh pegawai AS.
Dokumen itu menggariskan rangka kerja penamatan konflik, rundingan perjanjian muktamad dalam tempoh 60 hari serta hala tuju baharu hubungan antara Teheran dan Washington.
Antara kandungan paling penting ialah komitmen AS untuk melonggarkan sekatan berkaitan eksport minyak dan petrokimia Iran, membenarkan semula urusan perbankan, insurans dan pengangkutan berkaitan perdagangan tenaga, selain pelepasan aset dan dana Iran yang dibekukan di luar negara.
MoU itu turut menyebut pelan pembangunan dan pembinaan semula Iran bernilai sekurang-kurangnya AS$300 bilion dengan sokongan AS dan rakan serantau.
Lebih penting, perkembangan tersebut membuka laluan kepada penamatan sekatan minyak yang menjadi antara tekanan ekonomi terbesar terhadap Iran sejak Revolusi Islam 1979.
Walaupun proses itu dijangka berlaku secara berperingkat dan tertakluk kepada rundingan lanjut, ia tetap dianggap perubahan besar dalam hubungan kedua-dua negara.
Dalam konteks itu, Iran dilihat bukan sekadar berjaya mengelakkan kekalahan, malah berpotensi muncul dengan kedudukan ekonomi yang lebih kukuh berbanding ketika konflik bermula.
Hakikat paling ketara daripada perang ini ialah struktur pemerintahan Iran kekal bertahan walaupun berdepan tekanan ketenteraan dan ekonomi yang hebat.
Objektif untuk melemahkan Teheran secara menyeluruh juga dilihat tidak tercapai apabila negara itu masih mengekalkan kedudukan strategiknya di rantau Asia Barat.
Pada masa sama, program nuklear Iran tidak dibubarkan serta-merta menerusi MoU tersebut.
Sebaliknya, kedua-dua pihak hanya bersetuju mengekalkan status quo sementara rundingan lanjut diteruskan dalam tempoh 60 hari akan datang.
Kedudukan Iran di Selat Hormuz juga terus menjadi faktor penting dalam percaturan geopolitik dunia. Laluan itu merupakan antara nadi utama perdagangan tenaga global dan pembukaannya semula menjadi antara elemen utama dalam perjanjian berkenaan.
Bagi AS, perjanjian itu memberi peluang menamatkan konflik yang mahal serta mengurangkan risiko gangguan bekalan tenaga dunia.
Namun bagi Iran, manfaat yang bakal diperoleh lebih ketara dari sudut ekonomi melalui akses semula kepada pasaran minyak, pelepasan aset beku dan pelan pembangunan bernilai ratusan bilion dolar.
Fakta perang
- Perang bermula apabila AS & Israel lancar serangan udara ke Iran pada 28 Februari lalu.
- Teheran lancar tindak balas dengan ratusan peluru berpandu dan dron menyasarkan pangkalan AS & Israel.
- Dalam serangan awal, beberapa pemimpin kanan Iran termasuk Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei dilaporkan gugur syahid.
- Iran menutup/menyekat Selat Hormuz sehingga jejaskan aliran perdagangan minyak dunia.
- Ribuan peluru berpandu dan dron digunakan sepanjang konflik.
- Konflik merebak ke beberapa negara termasuk Iraq, Syria, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
- AS melaksanakan sekatan maritim terhadap Iran.
- Teheran masih tidak menyerah dalam isu program nuklear walaupun terus berdepan tekanan AS dan Israel.
- Selepas tiga bulan, kedua-dua pihak sepakat memeterai MoU yang memberi kelebihan besar kepada Iran.