GILBERTO Mora berpotensi diturunkan dalam kesebelasan utama Mexico menjelang aksi penentuan Kumpulan A menentang Korea di Guadalajara hari ini (9 pagi waktu Malaysia).
Pemain muda Tijuana Xolos itu sebelum ini menjadi pemain termuda Mexico beraksi di Piala Dunia, selain menarik perhatian menerusi aksi cemerlang ketika menentang Afrika Selatan.
Masuk sebagai pemain gantian, pemain berusia 17 tahun itu tampil berkesan apabila melengkapkan 14 daripada 14 hantaran tepat, sekali gus membantu meningkatkan rentak permainan Mexico di bahagian serangan.
Persembahan itu dilaporkan meyakinkan ketua jurulatih Javier Aguirre yang sedang menilai beberapa perubahan, termasuk kemungkinan menurunkannya dalam kesebelasan utama.
Dalam masa sama, Mexico dijangka melakukan rombakan di benteng pertahanan selepas Cesar Montes dilayangkan kad merah dalam aksi sebelum ini.
Aksi menentang Korea Selatan dijangka sengit apabila kedua-dua pasukan berkongsi tiga mata.
Mexico kini mendahului kumpulan menerusi perbezaan gol selepas menang 2-0 ke atas Afrika Selatan, manakala Korea Selatan di tangga kedua selepas menewaskan Republik Czech 2-1.
Korea Selatan pula berpeluang mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik dan muncul juara kumpulan lebih awal sekiranya meraih kemenangan ke atas Mexico, bergantung kepada keputusan perlawanan membabitkan Republik Czech-Afrika Selatan.