Madrasah Tahfiz Muqarrabin terima anugerah pengurusan tahfiz terbaik

Iklan
Muhammad Amin (dua dari kiri) menerima anugerah di Kangar, Perlis.

KANGAR – Madrasah Tahfiz Muqarrabin menerima pengiktirafan sebagai Pengurusan Tahfiz Terbaik ketika Majlis Maal Hijrah Peringkat Negeri Perlis Tahun 1448H/2026M pada Rabu.

Pengiktirafan tersebut disampaikan kerajaan negeri sebagai menghargai komitmen madrasah dalam pengurusan pendidikan tahfiz yang sistematik, berdisiplin serta berfokus kepada pembentukan sahsiah pelajar.

Iklan
Iklan

Pengetua Madrasah Tahfiz Muqarrabin, Muhammad Amin Arrazi Fakhruddin Arrazi berkata, anugerah itu menjadi dorongan besar kepada pihaknya untuk terus memperkukuh kualiti pendidikan agama, khususnya kepada golongan anak yatim dan asnaf.

“Pihak kami memberi penekanan kepada hafazan al-Quran, disiplin serta pembinaan akhlak supaya pelajar bukan sahaja cemerlang dalam hafazan, malah memiliki jati diri yang kukuh.

Iklan

“Kami mahu setiap pelajar mendapat peluang pendidikan agama sempurna tanpa mengira latar belakang keluarga,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, selain aspek akademik dan hafazan, suasana pembelajaran yang kondusif turut diberi keutamaan bagi memastikan pelajar dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pengajian.

Iklan

Menurutnya, kebajikan pelajar termasuk penginapan, keperluan harian dan kemudahan asas sentiasa dijaga dengan kos pengurusan sekitar RM6,000 sebulan.

Dalam pada itu, pihak madrasah turut melancarkan kutipan dana RM10,000 bagi kerja-kerja baik pulih tandas demi keselesaan dan kebersihan pelajar.

Orang ramai ingin menyumbang boleh menghubungi Muhammad Amin Arrazi di talian 011-7253 8299 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 559012337130 atas nama Madrasah Tahfiz Muqarrabin.

Madrasah itu berharap sumbangan yang diterima dapat membantu menyediakan kemudahan yang lebih baik, sekali gus menyokong usaha melahirkan generasi huffaz yang berilmu dan berakhlak mulia.