Zainol Fadzi umum sertai Wawasan selepas dipecat Bersatu

Iklan
Zainol Fadzi (duduk, tengah) bersama penyelaras dan aktivis Reset Perak yang hadir ketika sidang media di Ipoh pada Khamis.

IPOH - Selepas empat bulan dipecat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin mengumumkan penyertaannya dalam Parti Wawasan Negara (Wawasan).

Beliau yang menjadi ADUN bebas sebelum ini turut memaklumkan, semua penyelaras dan aktivis gerakan Reset di Perak akan menyertai parti baharu itu sebagai wadah meneruskan perjuangan politik mereka.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pelancaran Wawasan pada 13 Jun lalu di Tanah Merah, Kelantan memberikan kejelasan kepada penyokong dan aktivis Reset yang sebelum ini tertanya-tanya mengenai hala tuju gerakan tersebut.

"Ya, semua aktivis dan penyelaras di peringkat bahagian akan menyertai Wawasan. Sebelum ini ramai bertanya Reset ini parti apa kerana ia hanya sebuah gerakan, bukan parti politik.

Iklan

"Selepas Wawasan diumumkan secara rasmi, beberapa bahagian yang sebelum ini tidak bersama kami mula menunjukkan minat dan memberi respons positif untuk menyertai parti ini," katanya pada sidang media di sini pada Khamis.

Zainol Fadzi berkata, gerakan Reset di Perak mula digerakkan sehari selepas beliau dipecat daripada Bersatu pada 13 Februari lalu dan berfungsi sebagai platform tidak formal bagi menghimpunkan bekas ahli serta penyokong yang terkesan dengan tindakan disiplin parti berkenaan.

Iklan

Menurutnya, dalam tempoh empat bulan, gerakan tersebut berjaya membina rangkaian di seluruh negeri sehingga membawa kepada penubuhan Wawasan sebagai parti politik baharu.

Zainol Fadzi yang juga Ketua Penyelaras Reset Perak berkata, setakat ini sebanyak 20 jawatankuasa penaja telah diwujudkan daripada 24 bahagian di negeri itu manakala empat lagi bahagian masih mempunyai wakil dan penyokong yang aktif.

Katanya, majoriti bahagian juga telah mencapai syarat minimum keahlian antara 100 hingga 120 orang bagi membolehkan penubuhan bahagian secara rasmi.

"Malah ada bahagian yang berjaya mengumpulkan hampir 400 hingga 700 nama ahli walaupun sasaran asal hanya sekitar 120 orang.

"Sambutan selepas pelancaran Wawasan sangat menggalakkan dan saya jangka akan berlaku peningkatan permohonan baharu daripada masyarakat termasuk golongan muda," katanya.

Beliau turut mendedahkan beberapa bekas pemimpin UMNO dan parti politik lain telah menghubunginya secara peribadi bagi mendapatkan maklumat mengenai Wawasan.

"Terdapat pemimpin UMNO yang pernah memegang jawatan di peringkat bahagian dan negeri menghubungi saya kerana tertarik dengan Wawasan.

"Mereka menyatakan minat untuk bersama-sama dengan parti ini," katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan dilantik menerajui Wawasan di Perak, Zainol Fadzi berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan pusat untuk membuat keputusan.

Menurutnya, ketika ini kumpulan 'Reset' mempunyai empat Ahli Parlimen dan lima ADUN yang bersedia mengukuhkan kedudukan parti baharu tersebut.