PETALING JAYA – Seorang pengawal keselamatan menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan yang disifatkan ramai sebagai husnul khatimah apabila meninggal dunia ketika sedang berada dalam tahiyat akhir solat Isyak di surau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Taman Daya, Johor Bahru, Isnin lalu.
Allahyarham Abdul Malik Zakaria dilaporkan rebah ketika menunaikan solat berjemaah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Detik pemergian Allahyarham turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) surau berkenaan sebelum video tersebut dikongsikan anak saudaranya menerusi akaun TikTok, Snower Rewons.
Menurut hantaran dimuat naik, Allahyarham keluar bekerja seperti biasa untuk mencari rezeki halal buat keluarga sebelum dijemput Ilahi dalam keadaan yang menyentuh hati ramai.
“Keluar bekerja mencari rezeki halal untuk keluarga, dan akhirnya kembali kepada Pencipta dalam keadaan yang sangat dicemburui ramai.
“Arwah rebah ketika tahiyat akhir solat isyak, saat hati dan jasadnya sedang menghadap ALLAH SWT.
“Tiada siapa menyangka, sujud dan doa pada malam itu menjadi detik terakhir perjalanan hidupnya di dunia,” menurut perkongsian tersebut.
Hantaran itu menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang turut menzahirkan rasa sebak dan mendoakan Allahyarham.
Turut meninggalkan komen ialah seorang pengguna TikTok, Noramalina, yang merupakan sepupu kepada pemilik akaun berkenaan serta anak kepada Allahyarham Abdul Malik.
Menurutnya, antara perkara yang paling diingati tentang bapanya ialah kecintaan arwah terhadap rumah ALLAH.
“Terima kasih kepada semua yang mendoakan arwah ayah saya. Semoga Allahyarham Abdul Malik Zakaria ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan bertakwa.
“Antara perkara yang paling saya ingat tentang ayah ialah kecintaannya kepada rumah ALLAH. Selagi diberikan kesihatan, dia akan berusaha hadir ke masjid atau surau terdekat dan membantu sekadar termampu.
“Ayah juga seorang yang suka membantu tanpa mengharapkan balasan, menghormati ibu bapa dan sentiasa mengutamakan keluarga,” katanya.
Ruangan komen turut dibanjiri doa dan kata-kata menyentuh hati daripada netizen.
“Penutup cerita yang sempurna,” tulis seorang pengguna.
Seorang lagi netizen turut meluahkan rasa kagum dengan pemergian Allahyarham dan berharap dikurniakan pengakhiran yang baik