KUANTAN - Penubuhan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gohtong Jaya antara lapan inisiatif Genting Malaysia Berhad melalui payung Genting Bersama Malaysia demi kesejahteraan rakyat.
Lapan inisiatif itu meliputi aspek keselamatan, kesihatan, pendidikan, kelestarian alam sekitar dan pembangunan insan itu mencerminkan usaha berterusan syarikat berkembang seiring dengan kesejahteraan komuniti, kelestarian alam sekitar serta pembangunan generasi masa hadapan.
Menurut Genting Malaysia, setiap program yang dilaksanakan di bawah inisiatif itu dirangka bukan sekadar memenuhi keperluan semasa, tetapi turut memberi impak jangka panjang menyeluruh dari balai bomba hingga ke ekopelancongan.
"Penubuhan BBP Gohtong Jaya membantu memperkukuh tahap keselamatan komuniti di kawasan tanah tinggi ini khususnya dalam menghadapi risiko kebakaran dan kecemasan.
"Inisiatif ini bukan sahaja menyokong usaha kerajaan, malah memberikan keyakinan dan perlindungan kepada penduduk setempat serta para pengunjung," katanya melalui kenyataan di sini pada Khamis.
Selain itu, Genting Malaysia turut memberi perhatian kepada isu masyarakat, penjagaan pesakit Alzheimer melalui kerjasama strategik dengan pihak berkaitan di bawah inisiatif kesihatan.
Katanya, pendidikan terus menjadi teras utama Genting Bersama Malaysia menerusi program Sekolah Angkat Madani.
"Program ini bertujuan memperkasa sekolah terpilih melalui penambahbaikan infrastruktur, sokongan pembelajaran, pembangunan sahsiah pelajar serta penglibatan komuniti sekolah secara menyeluruh.
"Sebagai sebahagian daripada usaha tersebut, Genting Malaysia dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang melaksanakan majlis penyerahan rasmi bagi inisiatif Sekolah Angkat Madani melibatkan dua buah sekolah di Pahang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Sungai Kemahal, Triang dan juga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) LKTP Kampung Sertik, Karak," ujarnya.
Jelasnya lagi, bantuan juga turut diperluaskan kepada sekolah di beberapa negeri lain bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai lebih ramai pelajar dan pendidik.
"Antaranya, menyalurkan dana bagi penubuhan sebuah Pusat Produksi Video di SK Taman Indahpura 2 di Kulai, Johor; pembaikan dan pengubahsuaian bangunan utama sekolah, bilik guru, menaik taraf kemudahan dan pembinaan kedai serbaneka di SK Ladang Sabapalm, Sandakan, Sabah," katanya.
Pada masa sama katanya, keprihatinan terhadap alam sekitar turut menjadi sebahagian kerangka Genting Bersama Malaysia melalui usaha pemuliharaan penyu dengan penglibatan komuniti tempatan dan sukarelawan.
Menurutnya, inisiatif ini bukan sahaja menyumbang kepada pemeliharaan biodiversiti marin malah membantu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga ekosistem alam sekitar.
Sementara itu, Genting Malaysia merancang untuk memperluaskan peranan sukarelawan dalaman, Genting Green Generation (G3) dalam pelaksanaan program komuniti, aktiviti kelestarian serta usaha bantuan bencana.
Pendekatan itu diyakini dapat memupuk budaya kesukarelawanan yang lebih kukuh dalam organisasi serta mengeratkan hubungan antara syarikat dan masyarakat.
"Inisiatif ekopelancongan melalui rumah kaca bunga terbesar di Malaysia, Eufloria Gardens & Sculpture Park turut dirangka sebagai platform menggabungkan elemen kelestarian alam, pendidikan dan pengalaman pelancongan bertanggungjawab.
Secara keseluruhan katanya, Genting Bersama Malaysia bukan sekadar satu jenama CSR tetapi komitmen jangka panjang berpaksikan nilai kemanusiaan, kelestarian serta kebersamaan.