388 kes gangguan seksual direkodkan lima bulan pertama tahun ini - Hui Ying

Iklan
Hui Ying (tengah) ketika ditemui pemberita pada Program Toleransi Sifar Keganasan: Say No To Sexual Harassment di sebuah hotel pada Khamis. Foto Bernama

PORT DICKSON - Sebanyak 388 kes gangguan seksual direkodkan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying.

Beliau berkata, ia berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut menunjukkan peningkatan daripada 477 kes pada 2022 kepada 1,038 kes berkaitan gangguan seksual pada tahun lepas.

Iklan
Iklan

Peningkatan itu, menurut Hui Ying bukan sahaja mencerminkan kadar kes, tetapi keberanian masyarakat untuk tampil membuat laporan dan menolak budaya berdiam diri.

"Saya menyeru rakan sekerja, majikan atau saudara mara untuk memberikan sokongan kepada mangsa. Kes ini bukan sahaja melibatkan wanita tetapi juga kaum lelaki, bagaimanapun jumlahnya sangat rendah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Toleransi Sifar Keganasan: Say No To Sexual Harassment di sini pada Khamis.

Iklan

Hui Ying berkata, gangguan seksual ialah salah laku serius yang menjejaskan maruah, emosi dan kesejahteraan mangsa serta tidak boleh dinormalisasikan dalam masyarakat.

Dalam pada itu, Hui Ying berkata setakat 15 Jun, Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) menerima 100 aduan dengan 82 kes diselesaikan dalam tempoh 60 hari selepas pendengaran pertama yang membuktikan keberkesanan sistem tribunal dalam mempercepat akses kepada keadilan.

Iklan

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Pembangunan Wanita juga melaksanakan advokasi Women, Peace and Security (WPS) selari dengan National Action Plan 2025-2030 bagi memperkukuh peranan wanita dalam aspek keselamatan dan pembangunan negara.

"Saya berharap semua pihak dapat bersama-sama membantu kementerian memperluaskan advokasi berkaitan gangguan seksual bagi meningkatkan kesedaran awam tentang hak, keselamatan diri dan kepentingan pencegahan,” katanya.

Hui Ying (duduk dari tengah) bergambar bersama orang ramai samnil memegang notis plakad ‘Katakan Tidak Kepada Gangguan Seksual’ pada Program Toleransi Sifar Keganasan: Say No To Sexual Harassment di sebuah hotel. Foto Bernama

Hui Ying berkata, isu yang tidak ditangani dari peringkat awal boleh berkembang menjadi lebih serius dan berpotensi kepada pelbagai bentuk keganasan yang memberi kesan kepada individu serta keharmonian masyarakat.

"Kita semua, sama ada sebagai ibu bapa, pendidik, majikan, rakan sekerja atau pelajar mempunyai tanggungjawab untuk membina budaya sifar toleransi terhadap gangguan seksual. Pendidikan awal, keberanian untuk bersuara dan sistem sokongan kepada mangsa perlu terus diperkasakan,” katanya.

Hui Ying berkata, kerajaan menyediakan perkhidmatan sokongan bersepadu melalui pelbagai saluran, termasuk kaunseling dan sokongan psikososial melalui Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam serta pusat sokongan sosial setempat bagi membantu masyarakat mendapatkan bantuan diperlukan. - Bernama