MARANG – Kehilangan ketua keluarga akibat pandemik Covid-19 enam tahun lalu tidak menghalang seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa di sini, membuktikan kejayaan dalam bidang akademik.
Nurul Atikah Amran, 20, meraih keputusan cemerlang 4A 1A- dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan pada Khamis.
Ibunya, Fatimah Mat Yassin, 52, berkata, kehidupan mereka sekeluarga berubah sepenuhnya selepas suaminya, Amran Hassan meninggal dunia pada tahun 2020 akibat jangkitan Covid-19.
Menurut Fatimah, arwah suaminya yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori berusia 45 tahun ketika menghembuskan nafas terakhir.
"Masa suami masih ada hidup kami mewah juga, tapi lepas suami meninggal, saya terpaksa bekerja untuk sara keluarga.
"Dengan pendapatan sekitar RM1,700 sebulan, itulah yang digunakan untuk menyara empat anak," katanya yang bekerja sebagai tukang cuci di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Mengkuang, di sini.
Menurut Fatimah, selain Nurul Atikah, dua lagi anaknya iaitu Nurul Anis Shahirah, 24, dan Nurul Ain Fitri, 22 telah bekerja manakala anak bongsunya kini sedang menuntut di Tingkatan Lima.
"Boleh dikatakan dua kakak Atikah banyak membantu dia belajar. Bantuan dari segi kewangan dan sebagainya.
"Selain gaji saya sebagai tukang cuci, mereka juga banyak menyumbang kepada kejayaan Atikah dalam STPM,"katanya.
Ditanya kaedah belajar yang diamalkan, Nurul Atikah berkata, sepenuhnya kepada platform YouTube untuk mencari bahan rujukan tambahan dan mengulang kaji pelajaran secara bersendirian di rumah.
"Bila di sekolah, saya akan belajar bersama kawan-kawan dan cikgu, tetapi bila balik rumah, saya belajar sendiri dengan mencari bahan di YouTube. Saya cari bahan kat situ untuk lebih faham.
"Keputusan STPM ni hadiah untuk ibu yang telah banyak berkorban demi kami empat beradik sejak pemergian ayah," katanya yang mengambil aliran Sains Sosial dalam STPM.
Nurul Atikah yang sebelum ini memperoleh keputusan 3A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini berjaya mendapat panggilan temu duga di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi program Sarjana Muda Pendidikan (Geografi).