Keperluan wujud Kolej Tingkatan Enam setiap daerah di Perak diteliti - Exco

Iklan
Khairudin. - FOTO: Bernama

IPOH – Keperluan mewujudkan Kolej Tingkatan Enam di setiap daerah di Perak akan diteliti Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, ketika ini terdapat hanya tiga Kolej Tingkatan Enam iaitu masing-masing dua di daerah Kinta dan satu di daerah Batang Padang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebarang cadangan untuk menaik taraf sesebuah sekolah kepada Kolej Tingkatan Enam memerlukan justifikasi kukuh daripada JPN sebelum dikemukakan kepada KPM untuk pertimbangan.

“Kalau ada keperluan untuk diwujudkan Kolej Tingkatan Enam di setiap daerah, kita akan nilai dari segi keupayaan, kesesuaian lokaliti dan juga penyuraian sekolah-sekolah yang menempatkan murid Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima.

Iklan

“Antara faktor yang perlu diberi perhatian ialah jumlah pelajar, lokasi sekolah serta kesan penyuraian pelajar supaya tidak membebankan ibu bapa,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas pengumuman keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 JPN Perak di sini pada Khamis.

Iklan

Khairudin menjelaskan, kebanyakan Kolej Tingkatan Enam sebelum ini merupakan sekolah menengah harian biasa yang ditukar fungsi, justeru aspek penyuraian pelajar perlu dirancang dengan teliti.

Katanya, kadar enrolmen pelajar Tingkatan Enam juga perlu diambil kira bagi memastikan penubuhan kolej berkenaan dapat meningkatkan lagi penyertaan pelajar ke peringkat prauniversiti.

Tiga kolej berkenaan ialah Kolej Tingkatan Enam Tapah, Kolej Tingkatan Enam Seri Putera dan Kolej Tingkatan Enam Seri Ipoh.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan kerajaan negeri sedang meneliti kaedah baharu bagi memperkasa calon STPM menerusi inisiatif Program Tuisyen Cikgu Saarani.

Menurutnya, ketika ini bantuan yang diberikan kepada pelajar STPM lebih tertumpu kepada bantuan makanan percuma khususnya bagi calon yang tidak tinggal di asrama.

“Bagi tahun ini, program bantuan makanan percuma melibatkan hampir 27,000 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), STPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dengan kos kira-kira RM3.4 juta.

“Kita juga sedang memikirkan kaedah lain untuk membantu calon STPM kerana sebelum ini fokus lebih diberikan kepada pelajar SPM menerusi penyediaan buku dan modul pembelajaran,” katanya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan Prestasi peperiksaan STPM 2025 negeri Perak menunjukkan peningkatan membanggakan apabila Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) negeri meningkat kepada 2.91 berbanding 2.85 pada tahun sebelumnya.

Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah JPN Perak, Ahmad Faidzul Mat Yazid berkata, peningkatan sebanyak 0.06 mata itu sekali gus menjadikan pencapaian STPM 2025 sebagai yang terbaik bagi semua kategori sejak sistem semester diperkenalkan pada tahun 2013.