SHAH ALAM - Rombakan beberapa jawatan penting dalam Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai langkah yang sah di sisi Perlembagaan gabungan itu.
Timbalan Pengerusi Lajnah Penerangan Pas Selangor, Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, keputusan itu selaras dengan kuasa yang diperuntukkan secara jelas mengikut fasal 8.3(V), 8.3(VI) dan 8.3(VII) Perlembagaan PN.
Menurut beliau, kesemua fasal tersebut memperuntukkan jawatan Bendahari Agung, Timbalan Setiausaha Agung dan Ketua Pengarah Pilihan Raya dilantik oleh Pengerusi PN dan dipegang selama mana yang dikehendaki.
"Dalam kes ini, Pengerusi PN yang melantik Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke jawatan mereka dan beliau juga buat keputusan untuk memberhentikan mereka.
"Jadi daripada penjelasan di atas, tindakan yang dibuat oleh Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar adalah sangat jelas mengikut Perlembagaan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Pada masa sama, beliau turut mengambil perhatian terhadap pengumuman bahawa Mesyuarat Majlis Tertinggi PN akan diadakan dalam masa terdekat.
Tambah Nurul Islam, walaupun agenda mesyuarat belum diumumkan, beliau berpandangan pelbagai isu yang sedang membelenggu gabungan pembangkang itu berkemungkinan akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.
"Saya yakin dan percaya perkara-perkara berbangkit akan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.
"Tahniah Ahmad Samsuri sebab berani buat keputusan dalam pengurusan PN dan saya yakin perjalanan gabungan parti ini akan lebih lancar," ujarnya lagi.
Terdahulu, PN mengumumkan Mohd Radzi dihentikan perkhidmatan sebagai ketua pengarah pilihan raya parti itu berkuat kuasa serta-merta dan diganti Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor.
Bagi jawatan bendahari PN yang dipegang Muhammad Sanusi sebelum ini digantikan oleh Timbalan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), S Subramaniam dan Timbalan Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah diberhentikan perkhidmatan.
Ahmad Samsuri berkata, penstrukturan semula pentadbiran gabungan itu adalah bertujuan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.