Sabah catat 98.87 peratus lulus penuh STPM 2025

Iklan
Raisin (kiri) ketika menerima keputusan STPM 2025 bagi negeri Sabah di Wisma Pendidikan, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU – Sabah mencatatkan seramai 7,546 atau 98.87 peratus calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) memperoleh lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran pada peperiksaan tahun 2025.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, kejayaan itu sekali gus memperlihatkan peningkatan sebanyak 0.06 peratus berbanding keputusan STPM tahun sebelumnya.

Iklan
Iklan

“Peratusan calon STPM 2025 bagi negeri Sabah yang memperoleh lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran berbanding STPM 2024 telah meningkat daripada 98.81 peratus kepada 98.87 peratus atau 7,546 calon pada tahun 2025, iaitu peningkatan sebanyak 0.06 peratus.

“Daripada 7,632 calon yang hadir, sebanyak 99.96 peratus atau 7,629 calon layak dianugerahkan Sijil STPM 2025. Syarat untuk layak memperoleh Sijil STPM ialah calon mesti memperoleh lulus sebahagian dalam sekurang-kurangnya satu mata pelajaran,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2025 di Wisma Pendidikan di sini pada Khamis.

Katanya lagi, secara keseluruhannya, 21 daripada 22 mata pelajaran yang ditawarkan dalam peperiksaan STPM 2025 mencatatkan peratusan lulus penuh menyamai atau melebihi 60 peratus, iaitu gred C dan ke atas.

Iklan

“Empat mata pelajaran menunjukkan peningkatan melebihi 3.00 peratus dari segi prestasi lulus penuh berbanding tahun 2024, iaitu Bahasa Arab, Tahfiz al-Quran, Information and Communications Technology dan Biology.

“Manakala, empat mata pelajaran menunjukkan penurunan melebihi 3.00 peratus berbanding tahun sebelumnya, iaitu Bahasa Cina, Kesusasteraan Melayu Komunikatif, Perakaunan dan Mathematics (T).

“Dua mata pelajaran STPM yang lain tidak berubah prestasinya kerana perbezaan peratusan calon yang lulus penuh antara tahun 2025 dengan 2024 adalah sama, iaitu Pengajian Am (90.28 peratus) dan Literature in English (100 peratus),” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata PNGK STPM 2025 di peringkat kebangsaan ialah 2.88, manakala PNGK STPM 2025 bagi Sabah ialah 2.78.

“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.01 mata berbanding tahun lepas, iaitu daripada 2.77 pada tahun 2024 kepada 2.78 pada tahun 2025. Seramai 158 calon atau 2.07 peratus memperoleh PNGK 4.00, meningkat sebanyak 12 calon berbanding tahun 2024.

“Dari segi pencapaian PNGK calon, secara keseluruhannya didapati bilangan calon dan peratusan longgokan calon STPM 2025 pada PNGK 3.75 ialah 453 calon atau 5.93 peratus, PNGK 3.00 ialah 2,411 calon atau 31.59 peratus, PNGK 2.75 ialah 1,120 calon atau 14.67 peratus, dan PNGK 2.00 ialah 2,726 calon atau 35.71 peratus, yang meningkat berbanding tahun 2024,” katanya.

Katanya lagi, bagi tahun 2025, bilangan calon yang memperoleh 5A dalam kelima-lima mata pelajaran yang diambil meningkat daripada tujuh calon pada STPM 2024 kepada 21 calon.

“Manakala, bilangan calon yang memperoleh 4A menurun daripada 139 calon pada tahun 2024 kepada 137 calon pada tahun 2025,” katanya.