MARANG – Terengganu sekali lagi berjaya mengekalkan rekod prestasi cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) selama tujuh tahun berturut-turut apabila mengatasi Min Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) peringkat kebangsaan bagi tujuh tahun berturut-turut.
Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Wan Zuraidi Che Wan Zaid berkata, pencapaian PNGK Terengganu 3.18 mengatasi Nasional 2.88 sekali gus menunjukkan peningkatan konsisten sepanjang lima tahun kebelakangan ini.
"Bermula dengan PNGK 3.03 pada tahun 2021, prestasi negeri terus melonjak kepada 3.04 pada tahun 2022, meningkat kepada 3.11 pada tahun 2023, 3.12 pada tahun 2024, sebelum mencatatkan gred tertinggi iaitu 3.18 bagi tahun 2025 yang sekali gus mengatasi purata peringkat Nasional.
"Satu pencapaian yang paling bermakna dalam keputusan kali ini adalah keberkesanan usaha mengecilkan jurang pendidikan yang ketara antara kawasan bandar dan luar bandar.
"Jurang perbezaan pencapaian calon mengikut lokasi berkenaan telah mengecil secara drastik daripada 0.13 pada tahun 2024 kepada hanya 0.03 pada tahun 2025" katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis pengumuman keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa, di sini pada Khamis.
Selain itu, katanya bilangan calon yang memperoleh keputusan semua A penuh (PNGK 4.00) merekodkan seramai 112 orang sekali gus menunjukkan peningkatan berbanding 110 orang pada tahun 2024.
Ujar beliau, rekod itu menunjukkan perkembangan positif berbanding tahun sebelumnya yang mencatatkan 55 calon pada tahun 2020, 64 calon pada 2021, 112 calon pada 2022 dan 79 calon pada 2023.
"Kejayaan ini juga disokong kuat oleh prestasi luar biasa di peringkat sekolah, di mana kesemua 46 buah sekolah di Terengganu yang menawarkan tingkatan enam berjaya mencatatkan kelulusan penuh 100 peratus.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 36 buah sekolah berjaya mencapai sasaran Min PNGK 3.00 ke atas, meningkat berbanding 34 buah sekolah pada tahun sebelumnya," jelasnya. .
Dalam pada itu, SMK Bukit Sawa muncul sebagai sekolah terbaik di Terengganu apabila menduduki tangga teratas dalam senarai 10 sekolah terbaik negeri dengan merekodkan 42.50 peratus calon mendapat Semua A.
Tempat kedua tertinggi dalam senarai 10 sekolah terbaik berkenaan disandang oleh Sekolah Menengah (SM) Imtiaz YT Kemaman dengan perkongsian 35.00 peratus, diikuti Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek di Kuala Terengganu dengan 31.25 peratus.
Sementara itu, daerah Besut mendominasi senarai kelompok 10 sekolah terbaik negeri apabila empat buah sekolah di daerah itu berjaya menempatkan diri dalam senarai berkenaan.
Sekolah-sekolah dari daerah Besut tersebut melibatkan SMKA Nurul Ittifaq yang mencatatkan 28.57 peratus, Sekolah Menengah Agama (SMA) Maarif (25.81 peratus), SMK Tengku Mahmud (25.00 peratus) dan SMK Bukit Payong (20.45 peratus).
Turut tersenarai dalam pencapaian cemerlang itu ialah SMK Badrul Alam Shah, Kemaman dengan perolehan 23.91 peratus, SMK Menerong, Hulu Terengganu (22.22 peratus) serta SMK Saujana, Setiu (21.43 peratus).
Selain itu, SMK Bukit Sawa turut mencatatkan PNGK tertinggi iaitu 3.59 diikuti SMK Kuala Telemong (3.53), SMKA Nurul Ittifaq (3.52), SMK Bukit Payong (3.49), SM Imtiaz Yayasan Kemaman (3.47) dan SMA Maarif (3.42).
Seramai 1,962 calon telah mendaftar menduduki peperiksaan STPM pada 2025 di 46 buah pusat peperiksaan di Terengganu.