KEMATIAN dicemburui adalah ketika melakukan ibadah dan amal soleh. Bertuahlah mereka yang terpilih.
Pemergian seorang muazzin, Allahyarham Ahmad Haziq Jailani, 33, rebah sejurus selesai melaungkan azan Maghrib di Masjid Al-Firdaus, Selayang menjentik hati warganet.
Menerusi perkongsian rakan kepada Allahyarham iaitu MN Afzan AbWahab, arwah yang juga bapa kepada seorang cahaya mata itu merupakan sahabat yang mengingatkan orang lain kepada ALLAH.
ARTIKEL BERKAITAN: Bilal pencinta al-Quran meninggal dunia selepas laung azan
“Almarhum dijemput ALLAH sejurus selesai melaungkan azan. Almarhum mengakhiri hayatnya dalam keadaan melaksanakan satu ibadah yang mulia, menyeru manusia kepada solat, mengagungkan nama ALLAH dan mengajak manusia menuju kejayaan.
“Benarlah, Almarhum adalah antara sahabat yang apabila bersama dengannya, kita diingatkan kepada ALLAH.
"Bahkan selepas pemergiannya juga, beliau terus mengingatkan kita tentang kehidupan yang sementara dan perjalanan menuju akhirat,” katanya.
Dalam pada itu, bapa Allahyarham, Jailani Alib, 64, berkata, anaknya itu sering mendampingi al-Quran dan meluangkan masa membaca kitab suci itu selepas menunaikan solat Maghrib atau Isyak di masjid.
"Arwah memang rapat dengan al-Quran dan memang menjadi amalannya sejak dari dulu lagi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Malah, Allahyarham yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik juga aktif dalam pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.
Selain menjalankan tugas sebagai bilal, Ahmad Haziq turut mengajar kumpulan qasidah dan sering membantu apabila dipanggil untuk urusan berkaitan masjid atau program keagamaan.
Mengulas kejadian itu, Jailani menerima panggilan daripada ahli keluarga yang memaklumkan Ahmad Haziq rebah sejurus selesai melaungkan azan Maghrib di Masjid Al-Firdaus.
"Waktu kejadian, jemaah tidak tahu cara untuk melakukan CPR (bantuan pernafasan) dan hanya menunggu ambulans, namun arwah ketika itu sudah tidak memberi sebarang respons,” katanya.
Allahyarham Ahmad Haziq kemudian dibawa ke Hospital Selayang sebelum disahkan meninggal dunia.
Jailani berkata, pemergian Allahyarham turut dirasai ramai apabila solat jenazah yang diadakan di Masjid Al-Firdaus pada Isnin dipenuhi jemaah yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir.
Jenazah Ahmad Haziq dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selayang Baru kira-kira jam 11.30 pagi Isnin.
Sementara itu, menurut pendakwah Ustazah Asma' Harun pemergian seorang muazzin telah menjanjikan pelbagai kelebihan, kemuliaan dan ganjaran yang besar.
"Siapa sangka itulah azan terakhirnya di dunia. Allahyarham menyeru manusia menuju solat, namun tidak lama kemudian ALLAH pula menyerunya pulang menghadap-NYA.
"Betapa indah sebuah pengakhiran apabila antara amalan terakhir dalam hidupnya adalah mengajak manusia mengingati ALLAH," kongsinya.
Antara ganjaran dan kemuliaan ialah muazzin akan didoakan keampunan oleh Nabi Muhammad SAW, makhluk yang mendengar azan akan menjadi saksi pada hari kiamat dan doa muazzin akan diampunkan dosa sepanjang suaranya.
"Allahuakbar, kita tidak mengetahui kedudukan sebenar seseorang di sisi ALLAH SWT.
"Namun apabila melihat seseorang dijemput pulang saat selesai mengumandangkan azan, ia mengingatkan kita bahawa kematian yang baik adalah impian setiap insan yang beriman," titipnya. - Sinarplus