KEM latihan skuad Jerman di Carolina Utara berdepan gangguan tidak dijangka apabila seekor ular dipercayai berbisa dikesan berada di kawasan pusat latihan pasukan itu.
Kapten Jerman, Joshua Kimmich berkata kemunculan reptilia berkenaan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pemain yang kini lebih berhati-hati ketika menjalani sesi latihan.
“Apabila anda dengar jenis ular itu dan apa yang boleh berlaku jika digigit, ia tidak lagi menjadi sesuatu yang boleh dibuat gurauan.
“Jika digigit, anda perlu ke hospital. Saya tidak fikir ia membawa maut tetapi ia tetap berbahaya.
Difahamkan, ular tersebut dipercayai daripada spesies copperhead yang berbisa, namun tidak membawa maut jika mendapatkan rawatan segera.
Situasi itu bukan sahaja melibatkan Jerman, malah beberapa pasukan lain turut berdepan isu sama dengan haiwan liar di sekitar kem latihan masing-masing.
Norway yang turut berpangkalan di Carolina Utara kini berada dalam keadaan berjaga-jaga, manakala Austria dilaporkan dilarang menggunakan basikal di kawasan Santa Barbara akibat kebimbangan terhadap ular.
Switzerland pula dilaporkan telah mengasingkan sebahagian kawasan kem mereka sebagai zon 'kawasan ular'.