JAKARTA – Polis Indonesia sedang menyiasat dakwaan perbuatan seksual terhadap seekor anjing di sebuah kafe haiwan peliharaan di Penjaringan, Jakarta Utara selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial dan mencetuskan kemarahan orang ramai.
Ketua Unit Siasatan Jenayah (Kanit Reskrim) Balai Polis Metro Penjaringan, AKP Sampson Sosa Hutapea berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan sedang menjalankan siasatan lanjut.
Menurut beliau, rakaman video yang diperoleh menunjukkan seorang lelaki dipercayai melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap seekor anjing di premis berkenaan.
Beliau berkata, beberapa individu termasuk pengadu telah dipanggil untuk membantu siasatan.
Lelaki yang dikaitkan dengan kejadian itu turut dipanggil memberi keterangan, namun setakat ini polis belum menetapkannya sebagai suspek.
Polis juga tidak menolak kemungkinan menjalankan pemeriksaan psikologi terhadap individu terbabit sekiranya diperlukan.
Sementara itu, Pengurus Operasi Dogs Ministry, Yuliana Monica Petronela menjelaskan bahawa anjing yang menjadi mangsa bukan milik pelanggan tetapi milik premis berkenaan.
Menurutnya, anjing baka Pomeranian itu bernama Sissy dan dimiliki pemilik Dogs Ministry.
Beliau turut menafikan dakwaan bahawa haiwan peliharaan milik pelanggan pernah menjadi mangsa dalam kejadian tersebut.
Monica berkata, insiden itu berlaku pada 1 Jun lalu dan melibatkan seorang pelanggan tetap berusia 22 tahun yang dikenali sebagai OWL.
Katanya, suspek sering mengunjungi premis tersebut dan dikenali oleh kakitangan.
Menurut beliau, pada hari kejadian suspek dilihat bermain secara berlebihan dengan Sissy di kawasan kafe sebelum kakitangan menyedari tingkah laku mencurigakan dan memaklumkannya kepada pihak pengurusan.
Selepas menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan memantau dari atas di tingkat dua premis itu, Monica mendakwa melihat sendiri kejadian berkenaan sebelum segera mengasingkan anjing tersebut daripada suspek.
Beliau kemudian membawa lelaki terbabit ke Balai Polis Penjaringan untuk tindakan lanjut.
Dalam perkembangan sama, Monica mendedahkan kakitangan premis pernah menegur suspek kira-kira satu hingga dua minggu sebelum kejadian kerana didakwa memaksa seekor anjing lain dipeluk dan dicium walaupun haiwan itu menunjukkan tanda tidak selesa.
Susulan pengalaman tersebut, kakitangan premis dikatakan memberi perhatian khusus terhadap pergerakan suspek apabila dia kembali ke kafe pada hari kejadian.
Monica turut memaklumkan bahawa Sissy mengalami perubahan tingkah laku selepas insiden tersebut.
Katanya, anjing itu yang sebelum ini aktif dan mesra menjadi lebih pendiam serta banyak berehat.
Selain itu, berat badannya dilaporkan menurun kira-kira 800 gram dalam tempoh beberapa hari dan disahkan mengalami anemia akibat kurang selera makan.
Pemeriksaan darah turut dijalankan bagi memastikan tiada jangkitan penyakit atau masalah kesihatan lain, namun keputusan ujian menunjukkan tiada penyakit dikesan.
Menurut Monica, Sissy masih ditempatkan di Dogs Ministry bagi membolehkannya berada dalam persekitaran yang dikenali untuk membantu proses pemulihan, namun akan diasingkan apabila keadaan premis sesak dengan pengunjung.
Kes berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa. - Agensi