Pengiktirafan pemangkin untuk terus lakukan kerja dakwah - Ustaz Azhar Idrus

Iklan
Ustaz Azhar bersama sijil penghargaan dan hadiah kemenangan sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri 1448H/2026M yang berlangsung di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu pada Rabu.

​KUALA TERENGGANU - Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, 62, diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Dakwah Maal Hijrah peringkat negeri atas sumbangan besar beliau dalam menyebarkan syiar Islam kepada masyarakat.

​Anak jati kelahiran Kampung Ladang itu merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak, terutamanya kerajaan negeri serta seluruh jabatan di bawahnya yang sentiasa memberikan perkhidmatan cemerlang buat rakyat selain konsisten memajukan Terengganu.

Iklan
Iklan

​"Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, terutamanya kepada kerajaan negeri yang telah berkhidmat dengan cemerlang kepada rakyat negeri Terengganu serta memajukan negeri.

"Terima kasih juga kepada semua jabatan di bawah kerajaan negeri yang telah berkhidmat dengan sangat cemerlang dalam memudahkan urusan semua rakyat negeri Terengganu.

Iklan

​"Jadi, kemudahan-kemudahan inilah yang menyebabkan kita mudah melakukan segala urusan, insya-ALLAH. Seterusnya, dari dulu sampai sekarang, ALLAH SWT telah memberikan kemudahan melalui jabatan-jabatan agama dan yang seumpamanya, di mana semua pihak memberi laluan mudah untuk kita mengajar, berkuliah dan sebagainya," katanya.

Beliau membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 berserta sijil penghargaan.

Iklan

Peranannya diiktiraf kerana menjadi antara tokoh dakwah kontemporari yang berpengaruh dalam menyampaikan kefahaman Islam kepada masyarakat melalui pendekatan yang mudah, santai dan sentiasa berasaskan rujukan kitab muktabar.

​Bagaimanapun, menyentuh mengenai pengiktirafan tersebut, beliau menyifatkan ia bukan terletak pada pengajar, sebaliknya adalah hak jemaah yang hadir menghidupkan majlis ilmu.

​"Mereka sanggup meninggalkan urusan seketika untuk datang duduk di dalam Majlis Ilmu. Merekalah yang sebenarnya layak mendapat anugerah dan menjadi tokoh-tokoh yang terbaik. Saya ucapkan terima kasih kepada semua. Semoga negeri kita ini terus maju, berkat, dan sejahtera," ujarnya lagi.

​Dalam pada itu, beliau turut menitipkan pesanan buat seluruh masyarakat, khususnya generasi muda dalam mendepani cabaran serta pembangunan teknologi terkini.

​"Kita sekarang hidup pada zaman fitnah. Janganlah kita cepat melatah, sebaliknya banyakkan bersabar. Kita juga jangan terlalu mengikut trend atau ikutan orang ramai. Kembalilah kepada dasar-dasar agama, banyakkan bersabar, dan banyakkan menceritakan perkara yang baik-baik.

​"Kalau kita lebih banyak bercakap daripada banyak bekerja, orang akan tahu nilai (kualiti) kita. Biarlah kita menjadi seorang umat yang banyak bekerja dan kurang bercakap," katanya.

​Mengulas mengenai penyalahgunaan teknologi maklumat, beliau turut mengingatkan golongan muda agar memanfaatkan platform media sosial secara berhemah dan tidak menyalahgunakan medium tersebut dengan perkara yang tidak baik.

​"Kita tengok sekarang, ramai orang menggunakan media sosial untuk berkata perkara yang tidak baik. Kita sepatutnya berbeza daripada itu kerana kita orang yang beriman. Adakah sama orang yang beriman dengan orang yang tidak beriman? Tidak sama.

​"Orang yang beriman, dia hanya akan bercakap perkara yang baik-baik sahaja. Manakala orang yang tidak beriman atau tidak percaya dengan azab akhirat, dia akan bercakap apa sahaja yang dia mahu," jelasnya.