Pengawasan Parlimen mampu pulih keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan - Bersih

Iklan
Mohd Asraf Sharafi

SHAH ALAM – Cabaran terbesar dalam usaha reformasi perundangan ketika ini adalah untuk mengimbangi antara autonomi individu pendakwa raya mahupun institusi tersebut dengan keperluan mewujudkan sistem semak imbang yang lebih baik.

Pengarah Eksekutif Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Mohd Asraf Sharafi Mohd Azhar berkata, Parlimen sewajarnya diberikan peranan untuk melaksanakan semak imbang serta pengawasan yang bermakna terhadap pendakwa raya bagi mengatasi kelompangan dalam sistem sedia ada.

Iklan
Iklan

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab bersama moderator, Ismail Adnan ketika program Wacana Rakyat Edisi Ke-487 bertajuk"Pisah Kuasa Peguam Negara & Pendakwa Raya: Apa Rakyat Mahu?" anjuran bersama Rasuah Busters dan Sinar Harian di Studio F, Sinar Harian di sini pada Selasa.

Selain Mohd Asraf, sesi wacana itu turut menampilkan Pensyarah Sains Politik Universiti Sunway, Prof Dr Wong Chin Huat serta bekas Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah Yee Lynn.

Iklan

Mengulas kebimbangan bahawa kewujudan jawatankuasa Parlimen dalam proses pemilihan mungkin menyebabkan Pendakwa Raya terlalu berhati-hati dalam menjalankan tugas kerana perlu menjawab kepada Parlimen, Mohd Asraf mengakui perkara itu sememangnya menjadi perbahasan dalam kalangan pihak yang memperjuangkan reformasi tersebut.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa peranan Parlimen yang dicadangkan mempunyai dua fungsi utama dan bukan bertujuan untuk menyelia atau mengawal selia Pendakwa Raya.

Iklan

Menurutnya, fungsi pertama melibatkan proses pelantikan di mana Parlimen boleh memainkan peranan menyenarai pendek calon-calon yang dikemukakan.

"Di bawah mekanisme ini, sebelum seseorang Pendakwa Raya dilantik, Parlimen terlebih dahulu akan membahaskan dan meneliti nama-nama yang dikemukakan oleh satu suruhanjaya lain sebelum diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk urusan pelantikan atau mengangkat sumpah jawatan," katanya.

Dari kiri: Ismail, Karen, Mohd Asraf dan Chin Huat ketika program Wacana Rakyat Edisi Ke-487 bertajuk"Pisah Kuasa Peguam Negara & Pendakwa Raya: Apa Rakyat Mahu?" anjuran bersama Rasuah Busters dan Sinar Harian di Studio F, Sinar Harian, Shah Alam pada Selasa.

Beliau berkata, fungsi kedua pula adalah pengawasan pada peringkat dasar dan polisi, bukannya campur tangan dalam keputusan pendakwaan.

"Parlimen datang bukan untuk menyelia ataupun mengawal selia Pendakwa Raya. Peranan Parlimen di sini hanyalah untuk mengawasi secara dasar dan polisi.

"Apakah tindakan-tindakan Pendakwa Raya itu selari dengan Perlembagaan Persekutuan, selari dengan akta-akta yang ada ataupun selari dengan semangat keadilan itu sendiri," katanya.

Mohd Asraf berkata, fungsi pengawasan itu bukan sesuatu yang asing kerana Parlimen ketika ini turut menjalankan peranan menyemak imbang dan mempersoalkan tindakan pihak eksekutif.

Beliau turut menarik perhatian bahawa dalam sistem sedia ada, Pendakwa Raya boleh menangguhkan atau menghentikan sesuatu pendakwaan, termasuk melalui pelepasan tanpa pembebasan (DNAA), tanpa perlu memberikan alasan kepada umum.

Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa melalui mekanisme yang dicadangkan, Pendakwa Raya perlu mengemukakan dalil, justifikasi dan alasan yang kukuh sekiranya ingin memulakan atau menghentikan sesuatu pendakwaan, khususnya dalam kes berprofil tinggi.

Katanya, justifikasi tersebut perlu dibentangkan kepada Parlimen supaya ahli-ahli Parlimen dapat membahaskan asas keputusan berkenaan serta meneliti sebarang kelemahan yang mungkin wujud.

"Mereka juga boleh memanggil Pendakwa Raya untuk menjawab persoalan-persoalan yang berbangkit.

"Jadi saya rasa agak wajar untuk Pendakwa Raya, sekiranya dia ingin membuat keputusan-keputusan yang besar, dia perlu ada justifikasi yang kuat agar rakyat dapat merasa tenteram dengan segala tindakan ataupun keputusan yang diambil," katanya.

Menurut beliau, ketiadaan justifikasi dan akauntabiliti terhadap keputusan penting akan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat, khususnya apabila terdapat persepsi bahawa layanan terhadap sesuatu pihak berbeza berbanding pihak lain.

"Melalui pengawasan bermakna oleh Parlimen ini, ia diyakini dapat mengembalikan semula keyakinan kepada institusi keadilan, pelaksanaan keadilan dan juga proses keadilan itu sendiri," katanya.