SHAH ALAM - Mekanisme pencalonan secara terbuka perlu diperkenalkan dalam pelantikan Pendakwa Raya bagi memastikan kebebasan, keabsahan dan kewibawaan institusi pendakwaan negara.
Pengarah Eksekutif Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Mohd Asraf Sharafi Mohd Azhar berkata, kuasa yang diperuntukkan kepada Pendakwa Raya di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan adalah terlalu besar kerana merangkumi kuasa menjalankan, menghentikan dan menangguhkan kes jenayah.
Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab bersama moderator, Ismail Adnan ketika program Wacana Rakyat Edisi Ke-487 bertajuk"Pisah Kuasa Peguam Negara & Pendakwa Raya: Apa Rakyat Mahu?" anjuran bersama Rasuah Busters dan Sinar Harian di Studio F, Sinar Harian pada Selasa malam.
Selain Mohd Asraf, sesi wacana itu turut menampilkan Pensyarah Sains Politik Universiti Sunway, Profesor Dr Wong Chin Huat dan bekas Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah Yee Lynn.
Menurut Mohd Asraf, kebimbangan bahawa proses pencalonan terbuka boleh membuka ruang kepada aktiviti lobi tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menolak reformasi tersebut.
Sebaliknya, beliau menegaskan keperluan mewujudkan proses semak dan imbang yang berlapis melibatkan Parlimen, Suruhanjaya Perkhidmatan Perundangan dan Kehakiman (SPKP) serta pihak eksekutif.
Katanya, pendekatan itu mampu mewujudkan ekosistem pelantikan yang lebih sihat, telus dan boleh dinilai oleh rakyat.