Sultan Pahang kecewa sikap sesetengah pihak tiup api perpecahan demi kepentingan sendiri

Iklan
Al-Sultan Abdullah (dua dari kanan) yang diiringi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (dua dari kiri) menyempurnakan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang di Laman Sejahtera, Sungai Koyan, Lipis, pada Rabu. Foto: Pahang Media

KUANTAN - Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menzahirkan kekesalan terhadap sikap sesetengah pihak yang sanggup meniup api perpecahan dengan menjadikan sentimen kaum, agama dan politik sebagai alat meraih sokongan.

Titah Baginda, ia jelas bahawa cabaran perpaduan tidak lagi datang dalam bentuk peperangan atau penjajahan seperti dahulu.

Iklan
Iklan

"Kini cabaran itu hadir melalui sebaran fitnah, hasrat kebencian, hasutan dan perbalahan yang disebarkan tanpa batas melalui media sosial dan pelbagai saluran komunikasi.

"Lebih malang apabila ada pihak yang sanggup meniup api perpecahan demi kepentingan masing-masing sedangkan yang menjadi mangsa adalah rakyat, masa depan negeri dan negara," titah Baginda.

Iklan

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang di Laman Sejahtera, Sungai Koyan, Lipis, pada Rabu.

Titah Baginda lagi, terlalu banyak suara di pentas-pentas ceramah dan media namun tidak semua gema suara itu membawa makna.

Iklan

"Rakyat tidak memerlukan pemimpin yang petah berkata-kata sebaliknya mengharapkan pemimpin yang bekerja, berpegang kepada janji dan amanah," titah Baginda.

Sementara itu, dalam titahnya, Al-Sultan Abdullah mengajak rakyat menghayati peristiwa hijrah Rasulullah SAW dalam membina masyarakat sesebuah negara.

Baginda bertitah masyarakat tidak dibina hanya atas dasar belas ihsan semata-mata, tetapi mesti berdiri teguh di atas tiang keadilan, kedaulatan dan undang-undang.

"Penghijrahan Rasulullah ke Madinah bukan sekadar menyelamatkan umat, bahkan membina sebuah negara yang teratur, aman dan dihormati.

"Islam mengajar kita untuk berlaku ihsan terhadap mereka yang ditimpa musibah, kehilangan tanah air serta menjadi mangsa peperangan dan penindasan namun rahmah yang dianjurkan agama tidak bererti kita mengabaikan kedaulatan negara atau membiarkan belas ihsan melangkaui batas yang ditetapkan undang-undang," titahnya.

Dalam titah itu, Al-Sultan Abdullah memahami kegusaran rakyat apabila golongan tertentu yang asalnya diterima atas dasar kemanusiaan, kini semakin berani mengemukakan pelbagai tuntutan yang tidak selari dengan kedudukan mereka di negara ini.

"Tangan yang menghulurkan bantuan tidak seharusnya dibalas dengan suara yang semakin meninggi, apatah lagi dengan tuntutan yang semakin menjauh daripada kewajaran," titah Baginda.

Justeru, Baginda meminta pihak berkuasa bertindak tegas, bijaksana dan berhemah dalam menangani isu itu menurut lunas undang-undang.

"Kedaulatan negara hendaklah dipelihara tanpa kompromi, keamanan rakyat mesti dipertahankan tanpa ragu, dan hak warganegara wajib dijunjung tanpa pengecualian," Titah Al-Sultan Abdullah lagi.