SUNGAI BULOH - Seorang lelaki lemas selepas dipercayai tersedut ke dalam tangki air ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di sebuah kolam menara di Bandar Saujana Perdana di sini pada Selasa.
Mangsa berusia 24 tahun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas tangki kolam menara sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba II, Cik Hamdan Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.51 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya bersama sebuah jentera FRT dan lima anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
"Jentera tiba di lokasi pada jam 12.17 tengah hari dan mendapati terdapat seorang lelaki berusia 24 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas tangki kolam menara ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan.
Beliau berkata, anggota bomba kemudian menjalankan kerja-kerja mengangkat dan menurunkan mangsa dari tangki tersebut.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi.
"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.