HULU TERENGGANU - Kekurangan fizikal dengan ketinggian kira-kira 100 sentimeter (cm) bukan penghalang buat pendakwah bebas, Muhammad Abdullah, 33, untuk terus menabur bakti kepada masyarakat.
Kegigihan beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Mad Kecik mendapat pengiktirafan apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah kategori Orang Kurang Upaya (OKU) peringkat negeri Terengganu pada Rabu.
Anak jati Hulu Terengganu itu menyifatkan pengiktirafan yang diterimanya sebagai satu bentuk ujian daripada ALLAH SWT buat dirinya.
"Mudah-mudahan, anugerah ini memberi semangat kepada kita semua untuk terus beramal, berdakwah, dan berusaha memberikan yang terbaik kepada masyarakat pada masa akan datang. Sebaik-baik manusia adalah mereka yang memberi manfaat kepada manusia yang lain," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu Tahun 1448H/2026M di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.
Pengasas merangkap Timbalan Mudir Madrasah Darul Zahraa di Kampung Kuala Dura, Kuala Berang itu membawa pulang sijil penghargaan serta replika cek bernilai RM3,000.
Mengulas lanjut, Muhammad yang baru melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya, Nor Suhada Mohd Azam pada 22 Mei lalu mengakui tidak pernah menduga sumbangannya dalam bidang dakwah dan kemanusiaan mendapat pengiktirafan.
"Sempena tahun baru hijrah ini, mudah-mudahan ada perubahan dalam meningkatkan amalan kita. Walaupun umur kita semakin meningkat, mohon doakan saya agar sentiasa istiqamah dalam beramal serta selamat di dunia dan di akhirat," ujarnya.
Bercerita mengenai pendorong kejayaannya, Muhammad meletakkan ibunya, Noor Aini Mamat, 59, yang merupakan seorang ibu tunggal, serta guru-gurunya sebagai sumber inspirasi terbesar.
"Ibu saya ialah seorang ibu tunggal yang membesarkan anak-anaknya. Walaupun beliau bukan seorang ustazah, syukurlah anak-anaknya faham agama dan ada yang mengajar agama.
"Begitu juga dengan guru-guru yang telah mendidik dan mengajar saya. Terlalu banyak guru yang telah mencorakkan dan memberi inspirasi untuk saya terus berjaya," katanya.
Beliau menambah, perkongsian ilmu juga membuatkan dirinya sentiasa sedar tentang kerdilnya diri di hadapan pencipta.
Sementara itu, Muhammad yang juga aktif sebagai aktivis kemanusiaan antarabangsa termasuk menyertai misi ke Kemboja, Syria, Kenya, serta terbaharu sebagai sukarelawan Misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza pada 2025 berharap anugerah berkenaan dapat membuka mata masyarakat.
"Anugerah hari ini adalah satu bukti bahawa kejayaan bukan hanya milik orang yang normal semata-mata, tetapi OKU juga mampu berjaya sekiranya mereka terus berusaha, melakukan amal soleh, dan taat kepada ALLAH Taala.
"Jika di luar sana ada yang berasa susah atau sedang diuji dengan pelbagai ujian hidup, jangan sesekali berputus asa. Bersabarlah dan berusahalah setakat yang termampu.
"Setiap kekurangan pasti ada kelebihannya, dan jangan menjadikan kekurangan itu sebagai alasan untuk kita tidak bersyukur," katanya lagi.