[VIDEO] 'Arwah Siti Khadijah sangat kuat, dianugerah Prajurit Muda Wanita Akademik Terbaik'

Iklan

KLUANG - [DIKEMAS KINI] Tiada kebanggaan lebih besar buat seorang pesara tentera apabila melihat anaknya menyarung uniform yang sama dan meneruskan perjuangan berkhidmat untuk negara.

Namun, kegembiraan yang dirasai Sungip Jais, 65, bertukar menjadi duka yang tidak terungkap apabila anak bongsunya, Prebet Siti Khadijah Sungip, 24, terkorban dalam insiden letupan ketika menjalani latihan di Kem Hobart, Gurun pada Selasa.

Iklan
Iklan

Siti Zaiha menunjukkan gambar terakhir yang dikongsi adiknya pada malam sebelum kejadian.

Kakaknya, Siti Zaiha, 39, berkata, arwah menyertai Tentera Darat pada tahun lepas selepas tamat pengajian di peringkat diploma Teknologi Kejuruteraan Awam, Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Sri Gading, Batu Pahat.

Iklan

“Arwah seorang yang sangat kuat dan dianugerah Prajurit Muda Wanita Akademik Terbaik Siri Ke-50 sebelum diserapkan ke Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD),” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga di Taman Sri Lambak di sini pada Rabu.

Siti Zaiha ketika ditemui pemberita di kediaman keluarga di Taman Sri Lambak, Kluang pada Rabu.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Koperal Norazmi, Prebet Siti Khadijah maut ketika baling grenad

Dua anggota tentera maut terkena bom semasa latihan

Letupan di Kem Hobart: TDM sahkan identiti dua anggota terkorban

Dua tentera maut terkena bom: Polis jalan siasatan menyeluruh termasuk rakam saksi kejadian

Jenazah Koperal Norazmi dikebumi selepas bedah siasat, Prebet Siti Khadijah dibawa pulang ke Johor

Polis rakam keterangan tujuh individu bantu siasatan insiden letupan anggota tentera

Dalam suasana rumah yang masih diselubungi kesedihan, keluarga menyimpan erat kenangan terakhir yang ditinggalkan arwah.

Antara yang paling berharga ialah sekeping gambar yang dikongsikan Siti Khadijah dalam kumpulan WhatsApp keluarga pada lewat malam sebelum tragedi berlaku.

Menurut Siti Zaiha, adiknya sebelum itu memaklumkan bahawa dia sedang mengikuti latihan selama lapan hari yang melibatkan pelbagai modul termasuk latihan menembak dan membaling bom tangan.

“Seperti biasa, arwah aktif berhubung dengan kami dalam kumpulan keluarga. Dia ada berkongsi gambar ketika menjalani latihan malam sebelum kejadian,” katanya sambil menahan sebak.

Siti Zaiha yang bertugas sebagai Pembantu Perawatan Kesihatan di Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan berkata, kali terakhir adiknya pulang ke rumah adalah kira-kira seminggu sebelum Hari Raya Aidiladha lalu.

Ahli keluarga dan saudara berkumpul di rumah keluarga arwah di Taman Sri Lambak, Kluang.

Pada pagi hari kejadian, arwah masih sempat menghantar pesanan kepada keluarga dan memaklumkan bahawa dia berada dalam kumpulan terakhir yang dijadualkan menjalani latihan membaling bom tangan.

“Dia beritahu lokasi latihan dan kami hanya mampu berpesan supaya berhati-hati. Dengar arahan jurulatih dengan teliti dan sentiasa fokus.

“Tidak pernah terlintas dalam fikiran bahawa itu akan menjadi perbualan terakhir kami dengannya,” ujarnya.

Menurut Siti Zaiha, bapanya terlebih dahulu menerima panggilan daripada seorang pegawai tentera yang memaklumkan berlaku kemalangan ketika latihan.

“Ketika itulah pegawai berkenaan memaklumkan bahawa adik saya telah meninggal dunia kira-kira jam 12 tengah hari semasa latihan membaling bom,” katanya.

Sebelum itu, media melaporkan dua anggota tentera maut dipercayai terkena bom ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun dalam kejadian pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan mengesahkan, polis menerima maklumat awal berhubung kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari.

Dalam pada itu, keluarga dan saudara mara sudah berada di rumah keluarga di Taman Sri Lambak dan dijangka dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Taman Sri Lambak pada sebelah tengah hari.