Lelaki curi durian Black Thorn bernilai RM761 di Singapura didakwa

Iklan
Aks seorang lelaki mencuri Black Thorn dirakam CCTV.- Foto Facebook/Hojiak Durian & Fruits - Jurong East.

SINGAPURA – Seorang lelaki didakwa mencuri sembilan biji durian Black Thorn bernilai S$240 (RM761) dari sebuah kedai buah di bahagian barat Singapura dalam kejadian awal pagi Ahad.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dimuat naik oleh Hojiak Durian & Fruits di Facebook menunjukkan suspek dipercayai melakukan perbuatan itu sekitar jam 3.40 pagi waktu tempatan di premis berkenaan di Blok 351, Jurong East Street 31.

Iklan
Iklan

Video tersebut memaparkan seorang lelaki berbaju-T hijau gelap dan berseluar pendek berwarna krim menghampiri bakul berisi durian yang sebahagiannya ditutup dengan kanvas biru.

Suspek dilihat memerhati keadaan sekeliling sebelum memasukkan beberapa biji durian ke dalam beg plastik dan beredar dari lokasi.

Iklan

Pemilik kedai memberitahu Shin Min Daily News bahawa lelaki itu melarikan sembilan biji durian Black Thorn, iaitu antara varieti durian premium yang dijual di Singapura.

Nilai keseluruhan durian yang hilang dianggarkan sekitar S$240.

Iklan

Menurutnya, suspek pernah mengunjungi kedai tersebut sebelum ini, namun tidak kelihatan sejak lebih setahun lalu.

"Jika dia benar-benar menghadapi kesukaran dan mahu makan durian, dia boleh berterus terang.

"Kami boleh sahaja belanja dia beberapa biji durian," katanya.

Pemilik kedai turut mendedahkan premisnya beberapa kali menjadi sasaran kecurian sepanjang lima tahun kebelakangan ini, khususnya ketika musim durian.

"Kadang-kadang apabila stok banyak, ada yang mengambil satu atau dua biji.

"Tetapi lelaki ini mengambil sembilan biji sekali gus. Dia malah pergi mengambil beg plastik sebelum kembali semula. Memang melampau," katanya.-Agensi