KUALA LUMPUR - Bagi kebanyakan mahasiswa, kehidupan kampus sering berkisar tentang kuliah, tugasan, peperiksaan dan mengejar kecemerlangan akademik.
Namun bagi sekumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), pengalaman mereka tahun ini melangkaui sempadan bilik kuliah apabila diberi peluang menyertai Misi Pengantarabangsaan dan Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) 2026 ke tiga destinasi utama ASEAN iaitu Aceh, Indonesia; Cebu, Filipina; dan Yala-Songkhla, Thailand.
Misi yang digerakkan oleh Majlis Pengetua melalui Majlis Penghuni Kolej Kediaman (MPKK) UniMAP itu bukan sekadar lawatan akademik ke luar negara.
Sebaliknya, ia merupakan satu perjalanan pembelajaran kehidupan yang mempertemukan mahasiswa dengan masyarakat pelbagai latar belakang, budaya dan pengalaman hidup yang berbeza.
Melalui program ini, mahasiswa bukan sahaja membawa nama UniMAP ke persada antarabangsa, malah tampil sebagai duta kecil negara yang memperkukuh persahabatan serantau menerusi pendidikan, kesukarelawanan dan kemanusiaan.
Pengerusi Majlis Pengetua UniMAP, Mohd Syamril Aklmar berkata, program berimpak tinggi seperti ini memainkan peranan penting dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah mempunyai pemikiran global, kepekaan sosial serta kemampuan untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran antarabangsa yang semakin mencabar.
“Misi ini memberi peluang kepada mahasiswa melihat sendiri realiti kehidupan masyarakat di negara jiran, memahami kepelbagaian budaya serta mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang dipelajari dalam konteks sebenar.
"Pengalaman sebegini amat berharga dalam membentuk mahasiswa yang lebih matang, berdaya saing dan memiliki nilai kepimpinan yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata, universiti masa kini perlu melahirkan graduan yang bukan sahaja memiliki pengetahuan dan kemahiran teknikal, tetapi juga mempunyai jiwa kemanusiaan, empati dan kesedaran tentang tanggungjawab mereka terhadap masyarakat.
“Apabila mahasiswa berinteraksi secara langsung dengan komuniti luar negara, mereka belajar bahawa ilmu bukan sekadar untuk memperoleh pekerjaan, tetapi juga untuk memberi manfaat kepada manusia sejagat. Inilah nilai yang ingin kita tanamkan melalui program seperti ini,” katanya.
Di Banda Aceh, Indonesia, delegasi UniMAP menjalinkan kerjasama erat dengan Universitas Ubudiyah Indonesia (UUI) melalui pelbagai program akademik, kemasyarakatan dan pertukaran budaya yang memperlihatkan semangat persaudaraan serumpun antara Malaysia dan Indonesia.
Misi di Aceh mempunyai signifikan yang tersendiri kerana wilayah tersebut merupakan antara kawasan strategik dalam kerangka Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT), iaitu inisiatif kerjasama serantau yang bertujuan memperkukuh pembangunan ekonomi, pendidikan, modal insan dan hubungan masyarakat di kawasan utara Sumatera, utara Semenanjung Malaysia serta selatan Thailand.
Penyertaan mahasiswa dalam program seperti ini secara tidak langsung menyokong aspirasi IMT-GT melalui pengukuhan jaringan pendidikan tinggi dan diplomasi rakyat antara generasi muda di rantau ini.
Sepanjang berada di Aceh, delegasi UniMAP bersama UUI telah menjayakan Seminar Internasional STEM yang menghimpunkan pensyarah, mahasiswa dan peserta daripada kedua-dua institusi.
Seminar tersebut menjadi platform perkongsian ilmu dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta membuka ruang kepada perbincangan mengenai cabaran Revolusi Industri 4.0, kecerdasan buatan dan pembangunan modal insan yang diperlukan untuk menghadapi ekonomi masa depan ASEAN.
Selain program akademik, mahasiswa UniMAP turut menyertai aktiviti gotong-royong memasak bagi program Foodbank bersama mahasiswa UUI.
Aktiviti yang kelihatan sederhana itu sebenarnya memberi pengalaman yang cukup bermakna apabila peserta berganding bahu menyediakan makanan untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.
Melalui aktiviti tersebut, mahasiswa didedahkan kepada nilai kebersamaan, semangat sukarelawan dan kepentingan membantu masyarakat tanpa mengharapkan balasan.
Suasana memasak bersama, berkongsi tugas dan berinteraksi dengan komuniti setempat menjadikan pengalaman tersebut antara kenangan paling berharga sepanjang misi berlangsung.
Sempena sambutan Aidiladha, delegasi UniMAP turut menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf di Desa Lampinueng.
Program tersebut memberi peluang kepada mahasiswa melihat sendiri realiti kehidupan sebahagian masyarakat yang memerlukan bantuan serta memahami bahawa tanggungjawab sosial tidak mengenal sempadan negara.
Bagi ramai peserta, senyuman dan rasa syukur yang terpancar daripada wajah penerima bantuan memberikan pengajaran yang tidak dapat diperoleh melalui buku atau kuliah di universiti.
Delegasi UniMAP juga berpeluang mengunjungi Rumah Kebajikan Darul Hikmah di Banda Aceh bagi melaksanakan aktiviti kemasyarakatan serta menyampaikan sumbangan kepada penghuni rumah kebajikan tersebut.
Dalam suasana penuh mesra dan sederhana, mahasiswa berinteraksi secara langsung dengan penghuni serta berkongsi masa melalui pelbagai aktiviti yang menceriakan mereka.
Misi di Aceh turut diserikan dengan pelbagai aktiviti pertukaran budaya antara mahasiswa UniMAP dan UUI.
Melalui persembahan kebudayaan, sesi perkongsian tradisi, permainan rakyat dan interaksi santai antara mahasiswa, peserta dapat mengenali dengan lebih dekat persamaan dan keunikan budaya kedua-dua negara yang berkongsi akar sejarah serta tamadun yang hampir serupa.
Aktiviti tersebut bukan sahaja mengeratkan hubungan persahabatan antara mahasiswa, malah memperkukuh semangat ASEAN dalam kalangan generasi muda.
Mereka belajar bahawa walaupun berbeza negara, bahasa dan budaya, masyarakat di rantau ini berkongsi banyak nilai yang sama seperti hormat-menghormati, semangat kekeluargaan dan kepentingan hidup bermasyarakat.
Di Cebu, Filipina pula, mahasiswa UniMAP didedahkan kepada pengalaman yang lebih luas melalui Program Lawatan Akademik dan Pertukaran Budaya yang dilaksanakan dengan kerjasama Southwestern University PHINMA (SWU PHINMA).
Program tersebut dimulakan dengan sesi suai kenal dan jaringan akademik yang membuka ruang kepada pertukaran idea dan pengalaman antara mahasiswa kedua-dua institusi.
Delegasi turut diberi peluang melawat kemudahan universiti, mengikuti pembentangan akademik dan berbincang mengenai potensi kerjasama masa hadapan dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.
Lebih menarik, delegasi UniMAP turut mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Gabenor Wilayah Cebu.
Pertemuan tersebut membuka ruang kepada perbincangan mengenai pembangunan pendidikan, kerjasama industri dan peluang latihan serta pekerjaan untuk pelajar pada masa hadapan.
Namun pengalaman yang paling memberi kesan kepada peserta adalah ketika melaksanakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Talisay City.
Melalui program tersebut, mahasiswa UniMAP mengagihkan bantuan makanan berupa beras kepada keluarga yang memerlukan. Mereka juga mengendalikan aktiviti pembelajaran bahasa Melayu, Tamil dan Mandarin kepada komuniti setempat.
Interaksi secara langsung dengan masyarakat setempat memberi pengalaman yang sukar diperoleh di dalam bilik kuliah.
Di sebalik keterbatasan bahasa dan budaya, peserta mendapati hubungan kemanusiaan dapat dibina melalui keikhlasan, rasa hormat dan semangat untuk membantu antara satu sama lain.
Delegasi turut menghadiri sesi pendidikan dan perkongsian ilmu di ibu pejabat ODFi yang membincangkan sejarah komuniti Muslim di Filipina, peranan organisasi kemanusiaan serta kepentingan kerja sukarela dalam membantu masyarakat yang memerlukan.
Bagi peserta, sesi tersebut memberikan perspektif baharu mengenai cabaran yang dihadapi oleh masyarakat minoriti dan bagaimana pendidikan boleh menjadi alat penting untuk memperkasakan komuniti.
Selain aktiviti akademik dan kemasyarakatan, mahasiswa turut berpeluang mengenali warisan budaya Filipina melalui lawatan ke Mactan Shrine dan beberapa lokasi bersejarah di Cebu.
Pengalaman ini membantu mereka memahami bahawa setiap negara mempunyai sejarah, perjuangan dan identiti tersendiri yang wajar dihormati dan dipelajari.
Di Thailand pula, program UniMAP International Students Global Outreach (UISGO) 2026 yang berlangsung selama lima hari di Yala dan Songkhla memberikan pengalaman yang tidak kurang bermaknanya.
Di Tham Islam Suksa School, Yala, mahasiswa UniMAP melaksanakan pelbagai aktiviti khidmat komuniti dan motivasi bersama pelajar sekolah.
Aktiviti seperti sesi suai kenal, pembentukan kumpulan, pembinaan logo dan sorakan kumpulan, permainan interaktif seperti Chopstick Bonding dan Musical Hula Hoops berjaya mewujudkan suasana pembelajaran yang ceria dan menyeronokkan.
Gelak tawa dan keterujaan pelajar sekolah sepanjang program berlangsung menjadi kenangan yang sukar dilupakan oleh peserta UniMAP.
Walaupun berasal daripada negara yang berbeza, hubungan yang terjalin dalam masa yang singkat memperlihatkan bagaimana pendidikan mampu menjadi jambatan yang menyatukan manusia.
Mahasiswa UniMAP turut mengendalikan sesi akademik santai melalui Engineering and Technology Games yang memperkenalkan dunia kejuruteraan secara kreatif kepada pelajar sekolah.
Selain itu, sesi perkongsian robotik yang dikendalikan oleh pensyarah UniMAP bersama pelajar program SULAM berjaya mencetuskan minat pelajar terhadap bidang teknologi dan inovasi.
Di Rajamangala University of Technology Srivijaya (RUTS), Songkhla pula, mahasiswa UniMAP menyertai pelbagai program akademik dan pertukaran budaya yang memberi peluang kepada mereka untuk berinteraksi dengan pelajar antarabangsa.
Sesi perkongsian ilmu yang dikendalikan oleh Ts Dr Ahmad Ashraf dari UniMAP dan Asst Prof Tanakorn Inthasuth dari RUTS membuka ruang kepada pertukaran idea serta pengalaman dalam bidang kejuruteraan dan teknologi.
Program pertukaran budaya yang berlangsung dalam suasana santai dan penuh kemeriahan turut memperlihatkan keunikan budaya kedua-dua negara.
Persembahan kebudayaan, aktiviti Lets Dance, permainan tradisional menggunakan terompah kelapa serta cabaran membina jambatan menggunakan straw bukan sahaja mengeratkan hubungan peserta, malah mengajar mereka tentang kepentingan kerjasama, kreativiti dan komunikasi rentas budaya.
Delegasi UniMAP turut berpeluang melawat pelbagai fasiliti canggih di RUTS termasuk makmal Marine Mechanical Engineering, Electric Vehicle (EV) dan Educational Technology Studio sebelum mengikuti lawatan bandar Songkhla yang memperkenalkan sejarah dan pembangunan wilayah tersebut.
Sementara itu, Pengarah Program Misi ke Cebu, Filipina, Nurul Asyiqin Abdul Alim Sidi berkata, pengalaman yang diperoleh sepanjang program memberikan dimensi pembelajaran yang jauh lebih luas berbanding apa yang dipelajari dalam kuliah.
“Melalui interaksi secara langsung dengan komuniti setempat, peserta dapat memahami latar belakang sosial, budaya dan sistem pendidikan yang berbeza.
"Pengalaman ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran komunikasi antara budaya, malah memupuk nilai empati, kesukarelawanan dan kepimpinan yang menjadi teras kepada identiti mahasiswa UniMAP,” katanya.
Menurut beliau, program tersebut turut mencerminkan komitmen mahasiswa dalam mendukung aspirasi 'UniMAP for Society' yang menekankan peranan universiti sebagai agen pembangunan masyarakat di peringkat tempatan dan global.
Kejayaan pelaksanaan Misi Pengantarabangsaan dan USR 2026 membuktikan komitmen berterusan Majlis Pengetua dan MPKK UniMAP dalam memperkasa agenda pengantarabangsaan universiti serta memperluaskan impaknya melalui pendidikan, jaringan global dan aktiviti kesukarelawanan yang memberi manfaat kepada masyarakat sejagat.
Bukan hanya sekadar lawatan antarabangsa, malah program ini telah menjadi satu medan pembentukan karakter dan kepimpinan mahasiswa.
Mereka pulang bukan sahaja dengan gambar kenangan dan pengalaman baharu, tetapi dengan perspektif yang lebih luas tentang kehidupan, masyarakat dan tanggungjawab sebagai warga global.
Dalam dunia yang semakin saling berkait, pengalaman seperti ini membuktikan bahawa universiti tidak hanya berfungsi melahirkan graduan yang berilmu, tetapi juga insan yang memiliki empati, menghargai kepelbagaian dan bersedia menyumbang kepada masyarakat tanpa mengira sempadan negara.
Melalui pendidikan, kesukarelawanan dan diplomasi rakyat, mahasiswa UniMAP telah membuktikan bahawa generasi muda Malaysia mampu menjadi jambatan persahabatan antara negara-negara ASEAN.
Mereka bukan sahaja membawa nama universiti dan negara ke peringkat antarabangsa, malah membawa bersama nilai kemanusiaan yang menjadi asas kepada pembinaan rantau yang lebih aman, harmoni dan sejahtera untuk generasi akan datang.