Jurang harga minyak masak bersubsidi buka ruang ketirisan, manipulasi

Iklan
Dr Nur Atheefa Sufeena

PUTRAJAYA – Jurang harga yang ketara antara minyak masak bersubsidi dan harga pasaran terbuka dilihat membuka ruang kepada ketirisan serta manipulasi dalam mekanisme pemberian subsidi, menurut kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Penyelidik Fakulti Undang-Undang UKM, Dr Nur Atheefa Sufeena M Suaree berkata, perbezaan harga antara minyak masak paket bersubsidi yang dijual pada harga RM2.50 dengan minyak masak botol di pasaran terbuka yang mencecah RM7 hingga RM9 bagi saiz yang sama menjadi tarikan kepada pihak tertentu untuk mengambil kesempatan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, perkara itu merupakan antara dapatan utama kajian mengenai keberkesanan institusi dan mekanisme pemberian subsidi barang kawalan kepada rakyat bagi memperkukuh tatakelola dan integriti.

“Cadangan kami bukan sesuatu yang baharu. Dalam Laporan Ketua Audit Negara 2025 juga dinyatakan dengan jelas mengenai jurang antara harga siling dan harga pasaran terbuka.

Iklan

“Justeru, terpulang kepada kementerian serta agensi berkaitan untuk menentukan sama ada mahu melaksanakan kaedah gradual price float atau mekanisme lain yang dianggap sesuai bagi menangani sindiket yang mengambil kesempatan terhadap subsidi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membentangkan Kertas Kajian Keberkesanan Institusi dan Mekanisme Pemberian Subsidi Barang Kawalan kepada Rakyat bagi Memperkukuh Tatakelola dan Integriti pada Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Ke-5 Tahun 2026.

Iklan

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman.

Menurut Nur Atheefa, jurang harga yang besar bukan sahaja berpotensi menarik pihak tempatan mengambil kesempatan, malah turut mendorong aktiviti penyeludupan terutama di kawasan sempadan bagi memenuhi pasaran gelap.

Katanya, mekanisme subsidi perlu diteliti semula bagi memastikan manfaat yang disediakan kerajaan benar-benar sampai kepada golongan sasaran selain mengurangkan risiko ketirisan.

“Subsidi pada asasnya merupakan perbelanjaan kerajaan bagi menampung perbezaan antara harga siling dan harga pasaran. Sebarang kelemahan kawalan akan memberi kesan kepada perbelanjaan awam,” katanya.

Ketirisan berlaku di seluruh rantaian bekalan

Terdahulu dalam pembentangannya, Nur Atheefa menjelaskan bahawa kelemahan kawalan subsidi berlaku di setiap peringkat rantaian bekalan, termasuk minyak masak dan beras, dan tidak tertumpu kepada satu peringkat tertentu sahaja.

Menurut beliau, kajian yang dijalankan selama setahun itu mendapati pelbagai isu melibatkan aspek tatakelola, perundangan dan institusi dalam pengurusan subsidi minyak masak serta beras dan padi.

“Berdasarkan dapatan kajian serta pemurnian yang dilakukan oleh kumpulan penyelidik, terdapat kelemahan kawalan di hampir semua peringkat rantaian bekalan,” katanya.

Beliau berkata, kajian lapangan dijalankan di lima zon iaitu Utara, Barat, Pantai Timur, Selatan serta Sabah dan Sarawak dengan melibatkan pihak pemberi dan penerima perkhidmatan selain agensi yang menguruskan subsidi berkenaan.

Bagi subsidi minyak masak, kajian mendapati kelemahan kawalan berlaku sepanjang rantaian bekalan bermula daripada kilang penapis, syarikat pembungkus, pemborong, peruncit sehinggalah kepada pengguna.

“Dapatan menunjukkan tidak ada satu peringkat yang lebih dominan. Peluang ketirisan wujud di semua peringkat rantaian tersebut,” katanya.

Isu pembungkusan semula dan manipulasi timbangan

Nur Atheefa turut mendedahkan bahawa kajian lapangan menemukan kes pembungkusan semula minyak masak bersubsidi apabila berat kandungan dalam paket didapati kurang daripada jumlah yang sepatutnya.

“Semasa kajian lapangan dijalankan, didapati jumlah minyak masak yang ditimbang kurang daripada satu kilogram dengan purata sekitar 0.9 kilogram sahaja.

“Walaupun perbezaannya kelihatan kecil, pengguna akhirnya tidak menerima kuantiti sebenar yang sepatutnya diperoleh,” katanya.

Kajian itu turut mengenal pasti beberapa isu lain termasuk penyalahgunaan kuota isi rumah oleh peniaga mikro, kewujudan lesen tanpa operasi sebenar serta aktiviti pembungkusan semula secara haram.

Menurut beliau, eksploitasi jualan Rahmah melalui taktik 'smurfing' atau pembelian secara beramai-ramai turut dikesan selain gangguan dan ancaman terhadap pegawai penguat kuasa ketika menjalankan operasi.

Bagi subsidi beras dan padi pula, antara isu yang dikenal pasti ialah manipulasi timbangan di kilang untuk tujuan tuntutan subsidi serta penyalahgunaan resit.

“Dapatan menunjukkan antara kes yang paling banyak dilaporkan melibatkan penipuan melalui resit.

“Sama seperti subsidi minyak masak, apabila subsidi yang ditanggung kerajaan disalahgunakan, pengguna akhir serta proses pengagihan tidak lagi mencapai matlamat asal yang ditetapkan,” katanya.