KLANG - Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) melihat TV PSS Sinar Bestari sebagai platform strategik untuk menyemai kesedaran mengenai kepentingan kelestarian air dan alam sekitar dalam kalangan generasi muda menerusi penghasilan kandungan kreatif oleh pelajar.
Ketua Bahagian Perkhidmatan Korporat PAAB, Rozaifee Abu Zaharim berkata, pendekatan itu selari dengan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat yang memberi penekanan terhadap aspek pendidikan dan kesedaran alam sekitar.
Menurutnya, penglibatan pelajar dalam penghasilan kandungan bukan sahaja memberi ruang untuk mereka mengetengahkan kreativiti, malah membolehkan mesej berkaitan kelestarian disampaikan menerusi medium yang dekat dengan generasi muda.
“Karya yang dihasilkan pelajar pada Festival TV PSS adalah selari dengan inisiatif CSR PAAB yang mengutamakan pendidikan serta kesedaran kelestarian air dan alam sekitar dalam kalangan generasi muda.
“Kami berharap apa yang diterapkan ini dapat membentuk generasi yang berguna dan baik pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Festival TV PSS Sinar Bestari Peringkat Kebangsaan 2026 di Hotel Premiere, Bukit Tinggi di sini pada Khamis.
Rozaifee berkata, PAAB turut melihat nilai jangka panjang hasil kreativiti yang diketengahkan menerusi festival berkenaan dalam membentuk sumber daya insan berkualiti pada masa depan.
“Kami mengambil inisiatif memastikan karya-karya yang dihasilkan pelajar ini dapat digunakan pada masa akan datang dan menjadi inspirasi kepada anak-anak lain untuk lebih berkarya serta menghasilkan lebih banyak kandungan yang positif dan baik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan kerjasama PAAB dalam festival berkenaan mempunyai impak yang lebih luas, khususnya dalam membuka ruang kepada pelajar menghasilkan kandungan yang membawa mesej positif kepada masyarakat.
“Apa yang kita lihat hari ini adalah positif daripada apa yang dihasilkan pelajar dan Sinar Harian sendiri.
“Kami berharap kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Segmen PAAB ubah perspektif pelajar terhadap kepentingan air
KLANG - Penyertaan dalam Segmen Bersama Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) sempena Festival TV PSS Sinar Bestari Peringkat Kebangsaan 2026 membuka mata pelajar mengenai kepentingan penjimatan air dan pemuliharaan alam sekitar.
Program berkenaan bukan sahaja memberi pengalaman baharu, malah membantu generasi muda memahami isu berkaitan air menerusi aktiviti interaktif, kuiz dan perkongsian yang dekat dengan kehidupan seharian.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (Felda) Bandar Baru Serting, Ahmad Shafiq Nasution Ahmad Shakir Nasution, 16, berkata, pengisian yang disediakan menarik kerana memberinya peluang mengenali PAAB dengan lebih dekat.
Menurutnya, segmen berkenaan memberikan pengetahuan baharu mengenai kepentingan menjimatkan penggunaan air serta menjaga alam sekitar.
“PAAB mengajar kami mengenai cara menjimatkan air dan kepentingan menjaga alam sekitar.
“Sebelum ini saya tidak tahu apa itu PAAB, tetapi melalui program ini saya mula mengenali PAAB dan peranan mereka mengurus air negara,” katanya.
Sementara itu, pelajar SMK Bercham, Fyrras Nurwazif Shaipul, 16, berkata, program berkenaan mengukuhkan lagi kesedarannya mengenai amalan penjimatan air.
Pelajar Tingkatan 4 itu berkata, pengetahuan yang diperoleh boleh dikongsikan kepada rakan-rakan menerusi media sosial selain diterapkan dalam aktiviti di sekolah.
“Program ini mengubah pandangan saya mengenai kepentingan air seperti memberi perhatian kepada paip bocor atau tidak ditutup.
“Saya juga boleh berkongsi apa yang dipelajari di segmen ini di media sosial dan sebagai pengawas sekolah, saya juga boleh membantu menjalankan aktiviti mengenai cara-cara menjimatkan air,” katanya.
Bagi Nur Adelia Qisya Amri, 15, dari SMKA(P) Alawiyah, Perlis, sesi bersama PAAB pula mencetuskan idea untuk menghasilkan kandungan TV PSS berkaitan penjimatan air.
Menurutnya, video berkenaan boleh menyampaikan mesej mengenai cara menjimatkan air selain menjelaskan manfaat dan kesannya kepada rakan-rakan.
“Kalau diberi peluang menghasilkan video, saya mahu selitkan mesej mengenai penjimatan air, termasuk cara menjimatkan air serta faedah dan kesannya.
“Sebelum menghasilkan video, sudah tentu saya akan membuat kajian daripada sumber yang ada di media sosial termasuk PAAB dan platform YouTube,” katanya.