ALOR SETAR – Cubaan seorang pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) menyeludup masuk dadah disyaki bunga ganja bernilai kira-kira RM1.17 juta dari negara jiran gagal.
Suspek ditahan ketika dalam pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada Isnin.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, lelaki tempatan berusia 24 tahun itu ditahan ketika anggota bertugas menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemukan 13 bungkusan plastik berwarna hitam yang mengandungi bahan disyaki dadah jenis bunga ganja dengan anggaran berat keseluruhan 14,630.76 gram.
"Hasil saringan awal air kencing mendapati suspek positif thc ganja, manakala semakan mendapati dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada malam Selasa.
Jelas beliau, siasatan awal mendapati suspek dipercayai berperanan sebagai penghantar (transporter) bagi sindiket penyeludupan dadah yang membawa masuk bekalan dari Thailand sebelum diedarkan ke beberapa lokasi dalam negara.
Hasil soal siasat, suspek mengaku terlibat dalam aktiviti berkenaan sejak 25 Mei lalu selepas diperkenalkan oleh seorang lelaki tempatan kepada individu yang dipercayai mengendalikan sindiket di Danok, Thailand.
"Siasatan mendapati modus operandi sindiket adalah mendapatkan bekalan dadah di sekitar Danok sebelum menyembunyikannya di bahagian tempat duduk belakang kenderaan pacuan empat roda dan membawanya masuk ke Malaysia melalui ICQS Bukit Kayu Hitam.
"Suspek turut mengaku telah berjaya membawa masuk bekalan dadah sebanyak empat kali sebelum ini untuk dihantar ke lokasi yang diarahkan sindiket di Johor dan Kuala Lumpur," ujarnya.
Menurut Baderulhisham, suspek mendakwa menerima upah RM4,000 bagi setiap penghantaran yang berjaya diselesaikan.
Beliau berkata, pada hari kejadian suspek dipercayai sekali lagi cuba membawa masuk bekalan dadah untuk dihantar ke sekitar Kuala Lumpur sebelum berjaya ditahan oleh anggota bertugas di Checkpoint F dengan bantuan Pasukan Petugas Balai Polis Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.
"Suspek kini direman selama enam hari sehingga 21 Jun ini bagi membantu siasatan lanjut. Siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti rangkaian penuh sindiket termasuk sumber bekalan, rangkaian pengedaran dan individu lain yang terlibat," katanya lagi.