Dulu cari rezeki tepi jalan, kini diiktiraf Ikon Asnaf Perak

Iklan
Khairruddin (tiga dari kiri) diraikan ahli keluarga yang hadir di sambutan Maal Hijrah 1448H peringkat negeri Perak pada Selasa.

IPOH - Keazaman demi memastikan rakan orang kurang upaya (OKU) lain turut berjaya menjadi pembakar semangat kepada Khairruddin Mazli untuk terus berdikari membina kehidupan menerusi bidang keusahawan.

Khairruddin, 35, yang merupakan penerima Anugerah Ikon Asnaf sempena Sambutan Maal Hijrah 1448H peringkat negeri Perak kini berjaya mengusahakan pusat urutan dan refleksologi sendiri di Meru Raya.

Iklan
Iklan

Premis yang beroperasi sejak 2017 tersebut bukan sahaja menjadi sumber pendapatan utama, malah berkembang sebagai pusat latihan bagi melatih individu yang berminat dalam bidang urutan.

Usahawan OKU penglihatan itu berhasrat untuk terus mengembangkan perniagaannya dan membantu lebih ramai golongan OKU menceburi bidang urutan.

Iklan

Anak keempat daripada enam beradik itu mula berkecimpung dalam bidang urutan sejak 11 tahun lalu dengan melakukan perkhidmatan secara kecil-kecilan di kaki lima dan tepi jalan.

Dengan hanya berbekalkan peralatan asas seperti kerusi dan katil, beliau membina perniagaan sedikit demi sedikit dengan modal sendiri tanpa bergantung kepada bantuan mana-mana pihak.

Iklan

Berkat kesungguhan itu, Khairruddin mampu berkongsi rezeki dengan membantu membayar bil elektrik surau kediamannya selain menyumbang beras kepada anak yatim setiap kali Ramadan.

Selain bidang keusahawanan, Khairruddin juga pernah mencipta nama mewakili Malaysia sebagai pemain bola bagi kategori orang buta, selain berjaya mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records menerusi ekspedisi kayak OKU dari Sungai Siput ke Kuala Kangsar dua tahun lalu.

"Terima kasih atas penghargaan anugerah Ikon Asnaf ini. Saya tidak sangka terpilih kerana ramai lagi yang lebih layak, tetapi ini menjadi satu penghormatan besar buat saya," katanya.

Anugerah disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Sambutan Maal Hijrah 1448H peringkat negeri yang bertemakan 'Cetusan Hijrah Inspirasi Perubahan-Aspirasi Pembaharuan' pada Selasa.

Dalam majlis itu, bekas Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak.

Sementara itu, penerima Anugerah Khas, Osman Hamzah, 25, berharap pengiktirafan yang diterima menjadi pembakar semangat untuk terus menyumbang kepada masyarakat dan menjadi inspirasi kepada golongan muda.

Anak kelahiran Kampung Santeh RPS Legap, Sungai Siput itu memeluk Islam ketika di Tingkatan Satu, hasil bimbingan dan pergaulan rakan-rakan di asrama.

Osman berharap pengiktirafan diterima menjadi pembakar semangat untuk terus menyumbang kepada masyarakat dan menjadi inspirasi kepada golongan muda.

“Pada mulanya saya tertarik dengan amalan harian mereka seperti solat berjemaah dan mengaji sebelum mengambil keputusan untuk mendalami Islam,” katanya.

Penuntut Ijazah dalam bidang al-Quran dan Sunnah di Universiti Sultan Idris Shah (USAS) itu mencipta sejarah sebagai pelajar Orang Asli pertama berjaya menghafaz al-Quran 30 juzuk.

Menurut Osman, proses menghafaz al-Quran bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan disiplin tinggi sehingga mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disempurnakan.

Walaupun masih muda, anak ketujuh daripada lapan beradik itu aktif dalam aktiviti dakwah termasuk membantu masyarakat Orang Asli yang baharu memeluk Islam serta mengimarahkan surau-surau yang lama ditinggalkan.