Tujuh cabaran dihadapi orang berhijrah

Iklan
Mohd Sukki

SHAH ALAM - Melawan stigma masyarakat merupakan antara tujuh cabaran besar dihadapi individu yang berhijrah daripada melakukan dosa atau jenayah untuk kembali ke pangkal jalan.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, cabaran lain ialah meninggalkan rakan dan persekitaran lama, melawan tabiat lama, membina kehidupan baharu, rasa bersalah berpanjangan, memperbaiki hubungan dengan mangsa atau keluarga, dan istiqamah dalam ibadah serta disiplin hidup.

Iklan
Iklan

"Ujian selepas taubat boleh datang dalam pelbagai bentuk. Ada yang diuji dengan ajakan rakan lama, ada yang diuji dengan ketagihan, ada yang diuji dengan kemiskinan, ada pula yang diuji dengan cemuhan masyarakat.

"Semua ini menjadi medan untuk membuktikan sama ada perubahan itu benar-benar kerana ALLAH SWT atau hanya perubahan sementara. Namun, ujian bukan tanda ALLAH membenci hamba-Nya. Sebaliknya, ujian boleh menjadi tanda ALLAH mahu mengangkat darjat, membersihkan dosa dan menguatkan jiwa seseorang.

Iklan

"Maka, orang yang berhijrah perlu memahami bahawa ujian bukan penghalang kepada taubat, tetapi sebahagian daripada proses mematangkan iman," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mohd Sukki berkata, individu yang meninggalkan dosa, maksiat atau jenayah sebenarnya sedang berjuang melawan tiga perkara besar iaitu masa silam, nafsu dan pandangan manusia terhadap dirinya.

Iklan

"Antara cabaran paling berat adalah apabila seseorang sudah berubah, tetapi masyarakat masih memanggilnya dengan dosa lama.

"Memanggil mereka dengan gelaran atau label bekas penjenayah, bekas penagih dan seumpamanya. Keadaan ini boleh melemahkan semangat orang yang sedang cuba membina hidup baharu," ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, dalam al-Quran menjelaskan, ALLAH SWT bukan sahaja membuka pintu keampunan, bahkan menyebut bahawa keburukan orang yang benar-benar bertaubat boleh digantikan dengan kebaikan.