PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump berkata, kapal-kapal dagang kini kembali bergerak melalui Selat Hormuz dan laluan strategik minyak itu dijangka dibuka sepenuhnya menjelang Jumaat ini di bawah perjanjian damai yang dimeterai antara Washington dan Teheran.
Beliau berkata, perkembangan itu menandakan permulaan pemulihan kepada laluan perdagangan tenaga paling kritikal di dunia selepas beberapa bulan konflik yang mencetuskan gangguan bekalan minyak global serta tekanan inflasi antarabangsa.
“Kapten-kapten kapal sudah mula bergerak, banyak yang membawa minyak keluar dari Selat Hormuz,” kata Trump sambil menambah beliau tidak menjangka perlu ada campur tangan besar bagi memastikan laluan itu kekal terbuka.
Media Iran melaporkan sekurang-kurangnya tiga kapal tangki minyak dan dua kapal kargo telah berjaya melalui kawasan berkenaan yang sebelum ini dikenakan sekatan ketat serta operasi sekatan laut oleh Amerika Syarikat.
Menurut laporan itu lagi, laluan tersebut sebelum ini menjadi medan ketegangan utama apabila Iran dan AS saling mengenakan sekatan maritim sejak konflik tercetus pada Februari lalu, sekali gus menyebabkan harga minyak dunia melonjak mendadak.
Perjanjian damai antara AS, Iran dan Pakistan sebagai perantara dilaporkan akan dimeterai secara rasmi di Switzerland pada Jumaat, namun pegawai kanan Rumah Putih memaklumkan dokumen tersebut telah pun ditandatangani secara elektronik oleh Trump, Naib Presiden, JD Vance dan Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf.
Trump berkata, beliau mahu perjanjian itu diterbitkan tidak lama lagi kerana ia merupakan dokumen yang sangat penting kepada kestabilan global.
Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi berkata, perjanjian tersebut menandakan berakhirnya konflik serta membuka ruang kepada rundingan lanjut dalam tempoh dua bulan bagi merangka perjanjian akhir.
Namun, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi mengambil pendirian lebih berhati-hati dengan menegaskan Teheran masih berhati-hati berdasarkan pengalaman lalu yang menyaksikan banyak perjanjian tidak dipatuhi.
Perlu patuh perjanjian
Dalam perkembangan berkaitan, Iran menegaskan Amerika Syarikat perlu memastikan Israel menghentikan operasi ketenteraan di Lubnan sebagai sebahagian daripada komitmen perjanjian itu.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan tenteranya akan kekal di Lubnan, Syria dan Gaza 'selagi perlu', sekali gus menimbulkan tanda tanya terhadap pelaksanaan penuh perjanjian damai tersebut.
Di Lubnan, Presiden Joseph Aoun menyambut baik perkembangan itu dan menyifatkannya sebagai langkah positif ke arah pengurangan ketegangan serantau, meskipun insiden serangan dilaporkan masih berlaku di selatan negara itu.
Dalam aspek ekonomi, pengumuman perjanjian tersebut telah memberi kesan segera kepada pasaran global apabila harga minyak jatuh hampir lima peratus manakala pasaran saham utama dunia mencatatkan kenaikan ketara, susulan jangkaan pemulihan bekalan tenaga global melalui Selat Hormuz yang membawa sekitar 20 peratus dagangan minyak dunia.
Perjanjian itu turut membuka fasa baharu rundingan 60 hari antara Washington dan Teheran bagi memuktamadkan kerangka perjanjian akhir, termasuk isu sensitif berkaitan program nuklear Iran yang masih belum diselesaikan sepenuhnya.
Dalam pada itu, beberapa penganalisis menyifatkan pembukaan semula Selat Hormuz sebagai faktor utama yang meredakan risiko gangguan ekonomi global, khususnya terhadap rantaian bekalan tenaga dan kos logistik antarabangsa. - AFP