Pengunjung dakwa air sungai Janda Baik kotor, alami cirit-birit selepas mandi

Iklan
Tangkap layar hantaran Young Syefura yang orang ramai yang mengalami cirit-birit atau muntah-muntah selepas mandi sungai di Janda Baik supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkaitan.

BENTONG – Beberapa pengunjung dan penduduk meluahkan kebimbangan terhadap kualiti air sungai di kawasan peranginan Janda Baik selepas mendakwa mengalami gejala cirit-birit, muntah dan demam panas secara berperingkat sejurus melakukan aktiviti mandi-manda di lokasi berkenaan.

Aduan yang tular di platform Threads itu mendakwa gangguan kesihatan berkenaan melibatkan beberapa pengunjung dalam kalangan ahli keluarga dan kanak-kanak yang berkunjung ke kawasan rekreasi tersebut sempena cuti umum baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Seorang pengguna mendakwa ahli keluarganya yang bercuti sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong mula mengalami simptom sakit secara berperingkat pada keesokan hari selepas pulang dari lokasi berkenaan.

Dalam pada itu, seorang lagi pengguna turut mendakwa sekumpulan kanak-kanak mengalami simptom sama selepas pulang dari Janda Baik pada Sabtu, 13 Jun lalu.

Iklan

Menerusi tangkapan skrin yang dikongsikan, lapan daripada 10 kanak-kanak dilaporkan tidak sihat, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap kebersihan air sungai di kawasan berkenaan.

Susulan pelbagai aduan itu, Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman menggesa orang ramai yang terjejas supaya menyalurkan maklumat rasmi kepada pihak berkaitan bagi membantu siasatan.

Iklan

Menurutnya, individu terlibat diminta memaklumkan pengurusan resort, chalet atau tapak perkhemahan yang dikunjungi bagi membantu Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) mengenal pasti lokasi spesifik untuk tujuan pemetaan.

"Pengunjung yang mengalami gejala berkenaan boleh menghubungi talian Hotline Pejabat Parlimen Bentong di +60 17-901 5500," katanya.

Dalam hantaran balas di platform Threads pada Selasa, Young Syefura turut memaklumkan bahawa PKD tidak memandang ringan isu berkenaan dan telah digerakkan ke lokasi terlibat bagi menjalankan siasatan lanjut.

"PKD telah mengambil sampel air, melakukan saringan serta pemantauan di lokasi terbabit, manakala keputusan analisis makmal masih ditunggu," tulisnya.