SHAH ALAM – Kerajaan Selangor merancang memperluas latihan pengurusan air hingga ke peringkat doktor falsafah (PhD) bagi melahirkan tenaga pakar dan pemimpin industri air berkemahiran tinggi pada masa depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perancangan itu akan dilaksanakan secara berperingkat menerusi kerjasama strategik antara Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Universiti Selangor (UNISEL) dan Selangor Technical Skills Development Centre (STDC).
Menurutnya, kerjasama itu yang bermula menerusi memorandum persefahaman (MoU) tahun lalu kini membuahkan hasil apabila 138 peserta menamatkan pengajian bersama UNISEL, manakala 1,500 peserta memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) menerusi kerjasama dengan STDC.
"Jika program ini berjalan dengan baik, kita boleh tawarkan pengajian pada peringkat diploma, ijazah, ijazah sarjana hinggalah PhD.
"Kita mahu mewujudkan satu kursus pengurusan air yang dapat melatih kakitangan sedia ada dan bakal tenaga kerja, selain melahirkan pemimpin pengurusan air pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Kerjasama Air Selangor, UNISEL dan STDC di sini pada Selasa.
Amirudin memberitahu, pendekatan itu bukan sahaja meningkatkan kelayakan akademik pekerja, malah mengiktiraf pengalaman serta kemahiran yang diperoleh menerusi tugasan dan kerja lapangan.
Beliau menjelaskan, pengalaman kerja itu boleh dijadikan sebahagian daripada proses pembelajaran sebelum peserta melengkapkan keperluan bagi mendapatkan sijil kemahiran atau kelayakan profesional.
Menurutnya, usaha itu juga membuka peluang kepada UNISEL dan STDC untuk memperkenalkan bidang pengajian baharu yang sebelum ini belum dibangunkan secara menyeluruh dalam industri pengurusan air.
Beliau berkata, program itu turut berpotensi menarik penyertaan tenaga kerja dari dalam dan luar negara, selain memberi penekanan kepada penerokaan teknologi baharu serta inovasi bagi memastikan kelestarian industri air.
"Pendidikan menjadi asas kepada pembangunan dan kemakmuran Selangor pada hari ini serta masa depan," tambah beliau.
Dalam pada itu, katanya, Air Selangor turut menyasarkan penjimatan kos elektrik antara 10 hingga 20 peratus menerusi pemasangan panel solar di tiga Loji Rawatan Air (LRA) utama dalam tempoh dua tahun akan datang.
Menurut beliau, Air Selangor kini menanggung bil elektrik hampir RM400 juta setahun, sekali gus menjadikan usaha mengurangkan kos tenaga antara langkah penting meningkatkan kecekapan operasi syarikat itu.
Katanya, menerusi langkah penjimatan itu, Air Selangor berpotensi mengurangkan perbelanjaan operasi dan membolehkan sumber kewangan disalurkan kepada keperluan lain termasuk latihan kakitangan serta penambahbaikan program air percuma untuk rakyat.
"Kalau kita dapat mengurangkan satu perempat daripada kos itu, kita boleh menjimatkan RM100 juta.
"Penjimatan itu boleh dikembalikan kepada kakitangan untuk latihan atau kepada rakyat menerusi penambahbaikan program air percuma," jelas beliau.
Beliau berkata, Air Selangor merancang memasang panel solar di LRA Sungai Selangor 1, 2 dan 3 bagi mengurangkan penggunaan elektrik daripada sumber konvensional.
Bagaimanapun, ujar beliau, pemasangan panel solar di LRA Sungai Selangor 2 sudah dilaksanakan, manakala pelaksanaan di dua lagi loji dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun.
"Pelaksanaan projek ini bergantung kepada beberapa faktor termasuk urusan sambungan kepada grid elektrik serta kelulusan berkaitan," tambah beliau.