Sultan Selangor tidak berkenan kerabat diraja ambil kesempatan demi kepentingan peribadi

Iklan
Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan bertitah pada Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Kerabat Diraja Selangor sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor Tahun 2026 di Padang Mahkota, Istana Alam Shah. Foto Bernama

KLANG - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan bahawa baginda tidak berkenan mana-mana ahli kerabat diraja Selangor menyalahgunakan kedudukan untuk memperdaya pihak lain demi kepentingan peribadi.

Baginda bertitah, kedudukan sebagai kerabat diraja bukan alasan untuk mana-mana individu bertindak sesuka hati, selain menzahirkan peringatan agar setiap ahli kerabat menghormati undang-undang dan mematuhi segala peraturan yang berkuat kuasa. 

Iklan
Iklan

"Cara kita membawa diri, berinteraksi dengan masyarakat dan melaksanakan tanggungjawab hendaklah mencerminkan maruah serta kewibawaan keluarga dan institusi,” titah baginda pada Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Kerabat Diraja sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor di Padang Mahkota, Istana Alam Shah di sini pada Selasa. 

Atas kesedaran itu, Sultan Sharafuddin menyeru agar ahli kerabat baginda terus bersatu dengan kuat dalam mempertahankan martabat institusi Raja, memelihara kehormatan kerabat diraja Selangor, menunjukkan teladan yang baik dan melayani masyarakat dengan penuh berhemah.

Iklan

Turut mengiringi Sultan Sharafuddin ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan isteri, Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz. 

Sultan Sharafuddin turut bertitah agar seluruh kerabat diraja Selangor untuk sentiasa bersatu dan hidup dalam ikatan keluarga yang kukuh, mengelakkan permusuhan serta tidak membiarkan perselisihan kecil menjadi punca perpecahan dalam kalangan ahli keluarga besar.

Iklan

Baginda bertitah, perbezaan pandangan atau salah faham perlu diselesaikan dengan baik dan bijak sekali gus mengelakkan pendekatan untuk mengeruhkan keadaan dengan mengadu domba, menyebarkan cerita yang tidak benar atau mengeluarkan kata-kata yang menyinggung perasaan. 

"Peliharalah tutur kata dan adab, termasuk ketika menggunakan media sosial, serta amalkan sikap saling memahami, bertolak ansur dan saling memaafkan. Beta juga menyeru agar ahli kerabat sekalian saling membantu dan mengambil berat antara satu sama lain. 

"Janganlah kita hanya berkumpul ketika majlis dan keraian semata-mata, tetapi hendaklah turut hadir memberikan sokongan, bantuan ketika saudara kita berdepan dengan kesulitan serta masalah,” titah baginda. 

Sultan Sharafuddin turut bertitah agar nilai kasih sayang, bertanggungjawab serta hormat menghormati antara yang tua dan muda hendaklah dipupuk agar kebaikannya dapat diwarisi kepada generasi berikutnya. 

Baginda turut menzahirkan sukacita dengan kehadiran hampir 1,200 ahli kerabat diraja Selangor pada majlis berkenaan selain turut berkenan agar keluarga besar diraja Selangor dapat dihimpunkan bersempena sambutan jubli perak berkenaan, sekali gus menjadi medan bagi mengeratkan silaturahim. 

"Sebahagian daripada ahli-ahli kerabat Beta yang hadir pada petang ini sudah lama tidak Beta temui, manakala sebahagian yang lain terdiri daripada generasi muda yang telah meningkat dewasa. Kehadiran ahli-ahli keluarga Beta sekalian amat membawa makna buat Beta.

"Pertemuan ini bukan sahaja menggembirakan hati Beta, malah mengingatkan kita tentang tanggungjawab bersama untuk memelihara keharmonian keluarga serta martabat institusi diraja Selangor,” titah baginda. - Bernama