'Kleptokrasi terburuk dunia' - Hakim dedah skala penyelewengan 1MDB

Iklan
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyifatkan skandal dana 1MDB sebagai episod ‘kleptokrasi pada tahap terburuk dunia’

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menyifatkan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai episod ‘kleptokrasi pada tahap terburuk dunia’ susulan penyelewengan dana awam pada skala luar biasa oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan demikian dalam keputusan penghakiman yang dimuat naik dalam sistem kehakiman pada Selasa.

Iklan
Iklan

Berdasarkan penghakimannya bertarikh 26 Disember 2025, Collin berkata, kes berkenaan dibuat menerusi transaksi kewangan merentas sempadan yang kompleks dan tersusun.

Beliau berkata, empat pertuduhan rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) dengan dana mencecah RM2.3 bilion itu membabitkan bekas pemimpin UMNO berusia 73 tahun itu, merupakan antara jenayah kewangan paling serius pernah berlaku di negara ini.

Iklan

Collin berkata, transaksi merentas sempadan yang licik itu bukan sekadar kecurian biasa, tetapi melibatkan transaksi antarabangsa yang sangat rumit untuk memindahkan dana keluar dari negara.

Katanya, ia meninggalkan kesan buruk terhadap reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa serta beban kewangan yang masih ditanggung kerajaan.

Iklan

“Skala penyelewengan dalam kes tersebut begitu besar sehingga boleh dibandingkan dengan tindakan penakluk terkenal, ‘Attila the Hun’ apabila berbilion-bilion ringgit dana awam dilencongkan melalui pelbagai transaksi yang dirancang secara teliti bagi menyembunyikan asal-usul wang berkenaan.

“Tertuduh ketika itu berada di kemuncak kuasa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, sekali gus mempunyai keupayaan untuk mempengaruhi keputusan Lembaga Pengarah 1MDB supaya meluluskan transaksi luar biasa secara tergesa-gesa,” katanya.

Beliau berkata, penyelewengan tersebut juga didorong oleh budaya pengurusan ‘top-down’ dalam 1MDB, apabila arahan daripada pihak atasan dipatuhi tanpa dipersoalkan dan lembaga pengarah kebiasaannya hanya menandatangani dokumen selepas mendapat kelulusan awal daripada tertuduh.

Berdasarkan penghakiman setebal 809 muka surat hakim berkata, dana yang diselewengkan kemudiannya melalui proses pengubahan wang haram yang rumit menerusi pelbagai akaun tempatan dan luar negara.

Menurutnya, perbuatan itu mengaburkan sumber sebenar wang tersebut dan menggambarkan manipulasi sistem pemerintahan pada peringkat tertinggi yang memberi kesan besar kepada kepentingan awam dan negara.

“Dana tersebut melalui proses lapisan yang rumit dalam skim pengubahan wang haram seperti pemindahan antara pelbagai akaun peribadi dan luar negara, yang sengaja direka untuk mengaburkan asal-usul haram wang tersebut,” katanya.

Hakim ini turut memberikan gambaran bahawa skala rompakan kewangan yang berlaku menjadikan Atilla kelihatan seperti seorang ahli koir sebagai perbandingan.

Pada 26 Disember 2025, Collin yang bersidang di Istana Kehakiman di Putrajaya, mendapati bekas Ahli Parlimen Pekan itu bersalah dan dihukum penjara 15 tahun dan memerintahkannya membayar denda sebanyak RM11.38 bilion.

Bagi setiap kes menggunakan kedudukan untuk rasuah, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun sementara lima tahun bagi setiap kes pengubahan wang haram (AMLA).

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman pemenjaraan berjalan serentak, selepas Najib selesai menjalani hukuman di Penjara Kajang, bagi kes SRC International Sdn Bhd, 22 Ogos 2028 depan.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan AMLA membabitkan jumlah wang yang sama antara 2011 hingga 2014 lalu.

Kesalahan didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon Kuala Lumpur, di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan wang haram di antara 22 Mac dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac dengan 30 Ogos 2013.

Semua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.