China sedia kongsi ilmu tingkat infrastruktur AI kepada Malaysia

Iklan
Ketika sesi temu bual khas bersama media di Kedutaan Besar Republik China ke Malaysia, di sini pada Selasa. FOTO SINAR HARIAN/ AISYAH BASARUDDIN.

KUALA LUMPUR - China menyatakan kesediaan penuh untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dengan Malaysia dalam konteks kerjasama meningkatkan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) sekali gus memanfaatkannya untuk kegunaan pelbagai sektor industri.

Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing berkata, AI buatan China kini diiktiraf di peringkat global kerana penggunaan pendekatan 'open-source', keberkesanan kos dan kepelbagaian aplikasi.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, jumlah muat turun model AI 'open source' dari China menduduki tempat pertama di dunia untuk 2025, malah memiliki tujuh dari 10 model AI terbaik di peringkat global.

"Sehingga Mac 2026, paten AI China merangkumi 60 peratus daripada jumlah paten AI global.

Iklan

"Justeru, kami bersedia untuk berkongsi pengalaman dan memperluas kerjasama dengan Malaysia bagi membantu meningkatkan infrastruktur AI serta memanfaatkannya untuk memperkasa industri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi temu bual khas bersama media di Kedutaan Besar Republik China ke Malaysia, di sini pada Selasa.

Iklan

Memandangkan 2026 menjadi titik-tolak pelaksanaan Rancangan Lima Tahun ke-15 China dan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), kata Ouyang, kedua-dua negara mesti mempunyai visi yang selari serta saling melengkapi.

Justeru, kata beliau, kedua-dua pihak boleh memfokuskan kepada empat bidang strategik utama terlebih dahulu iaitu ekonomi digital, ekonomi hijau, ekonomi biru dan ekonomi pelancongan.

Tambahnya, ia bagi memperluas kerjasama ekonomi pada masa hadapan di samping menggalakkan pembangunan bersepadu yang saling menguntungkan satu sama lain.

"Pertama, China dan Malaysia boleh membina hab kerjasama bagi faktor pengeluaran berkualiti baharu dan memacu pertumbuhan baharu dalam industri bernilai tinggi seperti ekonomi digital, ekonomi hijau, AI dan teknologi 5G.

"Kedua, kerjasama menerusi projek-projek mega mesti diteruskan misalnya Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), mempromosikan pengangkutan antara mod laut dan laluan rel serta meningkatkan kesalinghubungan serantau.

"Inisiatif 'Two Countries, Twin Parks' antara China-Malaysia perlu dikembangkan lagi dalam usaha menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif kepada syarikat dari kedua-dua pihak," ujarnya.

Bukan itu sahaja, Ouyang berpandangan, China dan Malaysia perlu meneroka bentuk kerjasama yang lebih inovatif.

"Tahun lalu, laluan kargo udara 'Air Silk Road' Zhengzhou–Kuala Lumpur di bawah inisiatif 'Belt and Road' mengangkut sebanyak 20,000 tan muatan, 8.8 kali ganda berbanding jumlah pada 2024.

"Ini sekali gus menjadi pemangkin kepada perdagangan bilateral. Sebagai contoh, buah yang digemari rakyat China seperti durian Musang King kini boleh sampai ke meja makan pelanggan di China dalam tempoh dua hari selepas dituai. Ini sangat menarik," katanya.

Ouyang dalam masa sama menekankan kepentingan mempromosikan peralihan tenaga memandangkan banyak negara kini berhadapan dengan dampak krisis tenaga global akibat ketegangan di Asia Barat.

Atas dasar itu, pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam bidang tenaga solar dan angin, tenaga hidrogen, penyimpanan tenaga termaju, 'smart grid' dan sebagainya.

"China mempunyai sistem tenaga boleh diperbaharui terbesar dan paling pesat berkembang di dunia termasuk rantaian industri tenaga yang lengkap.

"Tenaga bersih kini menyumbang hampir 40 peratus daripada penjanaan elektrik China. Bahkan, pengeluaran dan jualan kenderaan tenaga baharu China menduduki tempat pertama di dunia selama 11 tahun berturut-turut.

"China juga membekalkan lebih dari 80 peratus komponen fotovolta global dan 70 peratus peralatan tenaga angin dunia, sekali gus menyediakan asas kukuh untuk menangani kejutan tenaga global," ulasnya.