Golden Land Berhad lancar The Playground @ Kota Kinabalu

Iklan
Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun, Timbalan Ketua Menteri II Sabah merangkap Menteri Kewangan Sabah hadir menyaksikan majlis perasmian Galeri Jualan The Playground @ Kota Kinabalu (Riuh KK Suites).

KOTA KINABALU – Golden Land Berhad (GLB) secara rasmi melancarkan The Playground @ Kota Kinabalu (Riuh KK Suites), sebuah pembangunan suite komersial yang dijangka membuka lembaran baharu dalam sektor hospitaliti gaya hidup dan penginapan jangka pendek (STR) di Sabah.

Majlis pelancaran yang berlangsung pada Sabtu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri II Sabah merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Iklan
Iklan

Projek tersebut dibangunkan menerusi kerjasama antara Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) selaku pemilik tanah, GLB sebagai pemaju dan Maple Hospitality Group (MHG) sebagai rakan pengurusan hospitaliti.

Kerjasama itu turut menandakan kemunculan sulung jenama MapleSuites di Sabah, sekali gus memperkenalkan standard baharu dalam pengurusan penginapan jangka pendek yang profesional dan berdaya saing.

Iklan

Majlis berkenaan turut dihadiri wakil kerajaan, institusi kewangan, agensi pelancongan, golongan profesional, komuniti perniagaan serta pemain industri.

Dibangunkan oleh Sembulan Emas Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh GLB, projek itu terdiri daripada sebuah menara sembilan tingkat yang dibina di atas tapak pegangan pajakan seluas 1.63 ekar di Jalan Sembulan Lama.

Iklan

Dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM230 juta, pembangunan tersebut menawarkan 364 unit suite komersial merangkumi studio, suite satu bilik, suite dua bilik dan suite dwi-kunci, selain 13 lot kedai.

Harga unit ditawarkan bermula daripada RM500,000 hingga RM1 juta.

Stewart Yap menyampaikan cenderamata kepada YB Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun, Timbalan Ketua Menteri II Sabah merangkap Menteri Kewangan Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif GLB, Stewart Yap berkata, The Playground @ Kota Kinabalu mencerminkan aspirasi syarikat untuk membangunkan destinasi yang melangkaui pembangunan hartanah konvensional dengan menggabungkan elemen budaya, gaya hidup dan hospitaliti dalam satu ekosistem yang mampu mewujudkan nilai mampan kepada pemilik, pelabur dan komuniti.

“Sebagai sebuah syarikat tersenarai awam yang diasaskan di Sabah, kami berbangga untuk terus menyumbang kepada pembangunan negeri ini melalui projek-projek yang berkualiti dan berimpak tinggi.

“Projek ini bukan sekadar pembangunan hartanah, tetapi juga simbol keyakinan kami terhadap masa depan ekonomi Sabah serta potensinya sebagai destinasi pelancongan dan pelaburan utama di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, pelancaran projek itu mencerminkan keyakinan berterusan terhadap prospek pertumbuhan Sabah serta komitmen sektor swasta dalam membangunkan produk hospitaliti yang inovatif dan berkualiti.

“Pelancaran The Playground @ Kota Kinabalu turut mencerminkan komitmen berterusan GLB untuk memperluaskan pelaburannya di Sabah melalui pembangunan yang mampan, inovatif dan berorientasikan masa hadapan,” katanya.

The Playground @ Kota Kinabalu direka sebagai pembangunan suite komersial yang menggabungkan elemen gaya hidup, penginapan jangka pendek dan pengalaman berteraskan komuniti.

Sementara itu, Pengasas Bersama MHG, Danny Hor berkata, Sabah merupakan antara koridor pertumbuhan sektor hospitaliti paling berpotensi di Malaysia, disokong oleh asas industri pelancongan yang kukuh serta peningkatan permintaan terhadap penginapan jangka pendek yang berkualiti.

“Kami percaya kerjasama strategik seperti ini membolehkan kami meningkatkan pengalaman tetamu, di samping mewujudkan nilai mampan kepada pemilik hartanah, pelancong dan keseluruhan ekosistem pelancongan,” katanya.

The Playground @ Kota Kinabalu menampilkan gabungan elemen warisan Sabah dan estetika moden dengan mengetengahkan Linangkit, seni kraf tradisional Sino-Kadazan-Dusun yang melambangkan seni dan perpaduan sebagai sebahagian daripada identiti seni binanya.

Konsep tersebut diperkukuhkan menerusi reka bentuk Modern Memphis yang menampilkan corak geometri berani dan warna terang bagi mewujudkan persekitaran yang bertenaga serta mesra media sosial.

Antara tarikan utama pembangunan itu termasuk suite komersial yang direka khusus untuk era media sosial dengan ruang bersama dan reka bentuk dalaman yang fotogenik, kemudahan gaya hidup 24 jam serta unit yang diserahkan dalam keadaan siap berperabot dan diuruskan sepenuhnya oleh MapleSuites.

Selain suite penginapan, pembangunan tersebut turut menyediakan pelbagai pusat pengalaman yang diinspirasikan daripada mercu tanda semula jadi dan budaya Sabah seperti Gunung Kinabalu, Pulau Gaya, Sipadan dan Lembangan Maliau.

Kemudahan yang disediakan termasuk zon permainan pengembaraan, kolam renang berkonsepkan pantai, ruang barbeku dan karaoke komuniti, kawasan permainan kanak-kanak serta lounge santai.

Kerjasama antara GLB dan MHG itu dilihat mampu memperkasakan landskap hartanah dan hospitaliti Sabah menerusi pembangunan yang dirancang secara teliti dengan daya tarikan gaya hidup serta nilai pelaburan yang kukuh.